Akademi Sasterawan Negara mampu jadi platform pelapis sasterawan
KUALA LUMPUR - Akademi Sasterawan Negara yang bakal diwujudkan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mampu menjadi platform pelapis sasterawan negara sekaligus mengubah lanskap sastera negara untuk masa akan datang.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, akademi tersebut menjadi usaha DBP untuk membina generasi sasterawan bermula dari bawah.
"Kita ingin mengembalikan tradisi berguru bagaimana dari awal anak-anak ini akan dibawa untuk berguru dengan sasterawan-sasterawan negara kita supaya membina mereka punya bakat yang diajar oleh sasterawan negara sendiri.
"Kita dapat persetujuan daripada pengerusi DBP sendiri. Beliau sendiri akan pantau secara peribadi dan menjadi pemilik kepada projek yang besar ini dan kita berharap akan mengubah lanskap sastera negara pada masa akan datang.
"Akademi ini untuk murid sekolah rendah sehingga universiti. Ada tiga kategori yang mana kita akan bina iaitu sasterawan cilik, sasterawan remaja, dan sasterawan muda," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018 di sini malam ini.
Maszlee dalam ucapannya berkata, pemberian Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Tunas Cipta merupakan cerminan kesungguhan untuk mengangkat martabat kesusasteraan tanah air.
Katanya, tanpa sasterawan dan penulis negara ini akan tandus dan mati.
"Tak guna kita bicara soal bangunan setinggi langit, tetapi nama seperti Usman Awang hanya tinggal sejarah, sosok seorang Shahnon hanya mural tidak bernama," katanya yang turut melancarkan Sayembara Penulisan MENARA dan 26 buku Sasterawan Negara.
Sementara itu, Maszlee berkata, bermula tahun hadapan sudut sastera akan diwujudkan di semua sekolah-sekolah kerajaan.
"Sudut itu akan memaparkan gambar-gambar, nama-nama sasterawan negara kita beserta dengan karya-karya kita. Harapan kita supaya anak-anak kita mengenali sasterawan negara yang merupakan tonggak kepada sastera nusa yang kita cintai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!