Harap tengkujuh tak panjang
KUANTAN – Faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini melemahkan ekonomi nelayan pesisir pantai sekitar daerah ini.
Nelayan Kampung Kempadang mengakui pendapatan menurun sehingga 50 peratus berbanding hari biasa, kerana laut adalah sumber pendapatan utama.
Mohd Zairi Zainal Abidin, 34, berkata, atas faktor keselamatan dia tidak turun ke laut bagi menangkap ikan sebaliknya menggunakan masa terluang menjahit jala dan membaiki peralatan.
“Memang beginilah kalau monsun, tapi kalau cuaca elok turun juga ke laut. Terpaksa turun sebab itu sahaja sumber pendapatan yang ada. Kalau tak turun ke laut nak dapat hasil macam mana.
Mohd Khairul Anuar Awang, 39, berkata, pendapatannya merudum teruk pada musim tengkujuh, tahun ini.
Menurutnya, kebiasaan beliau boleh meraih pendapatan RM700 hingga RM800 sekali turun ke laut, namun beberapa hari kebelakangan ini sekadar memperoleh RM300 ke RM400.
“Cuaca tak elok. Ombak tinggi dan laut bergelora. Membahayakan keselamatan. Itu pun radius yang berani nelayan turun sekitar lima kilometer dari pantai.
“Pendapatan memang terjejas teruk minggu ini. Saya terpaksa turun juga sekitar jam 4 pagi dan balik jam 1 tengah hari. Ada nelayan yang pulang sekitar jam 6 petang. Pergi pun tak jauh, sekitar sini sahaja untuk elak risiko tak diingini,” katanya.
Katanya, dia kini masih menanti permohonan lesen bot diluluskan bagi memudahkannya turun ke laut.
Menurut Mohd Khairul, lesen tersebut amat diperlukan bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat jika berlaku masalah di laut.
“Dah lebih setahun memohon tapi tak dapat lagi. Saya harap kerajaan permudahkanlah urusan memberikan lesen bot ini.
Ini diakui Ibrahim Ismail, 53, yang berharap kerajaan menyegerakan serta memudahkan urusan pelesenan bot nelayan pesisir pantai.
Pekerjaannya sebagai nelayan sejak lebih 30 tahun lalu dapat menyara tujuh anaknya dan kini lima masih bersekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!