Bendera Perak terbalik: Kesilapan tak disengajakan
IPOH - Jurulatih pasukan bola keranjang Perak memaklumkan bendera negeri yang dicetak terbalik pada jersi seorang pemain adalah kesilapan yang tidak disengajakan oleh pembekal.
Gambar yang menunjukkan seorang pemain bola keranjang yang memakai jersi itu tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, penjelasan diberikan jurulatih pasukan itu sebaik sahaja dihubungi pejabatnya dan pihak pengurusan pasukan itu mendapati kesilapan cetakan hanya berlaku pada sehelai jersi sahaja.
"Saya mengambil maklum gambar sehelai jersi bola keranjang yang tular di media sosial.
"Mereka telah memohon maaf atas kesilapan tersebut dan berjanji untuk tidak mengulang kesilapan sama.
"Bagaimanapun, kita akan menghantar satu surat tunjuk sebab untuk menjelaskan isu ini secara formal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua pasukan, persatuan dan kelab sukan negeri lebih cakna dan teliti terhadap semua lambang terutama bendera rasmi negeri bagi mengelak masalah berkenaan.
**Katanya, sikap itu adalah selaras dengan semangat patriotik dan rasa hormat terhadap negeri.
"Semoga insiden itu menjadi pelajaran kepada semua pihak untuk lebih berhati-hati," katanya.
Pasukan Bola Keranjang Perak difahamkan sedang mengambil bahagian dalam Kejohanan Kebangsaan Bawah 15 tahun (U15) anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) di Kuala Lumpur.
Sebanyak 24 helai jersi dicetak bendera Perak, sehelai daripadanya didapati cetakannya terbalik dan dipakai seorang pemain.
Semalam, MABA memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan bintang lima bucu ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!