Simulasi DMex uji kecekapan koordinasi unit bomba
TELUK INTAN - Kecekapan dan kepantasan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya menyelamatkan 20 pekerja sebuah kilang cat di Jalan Changkat Jong di sini yang 'terbakar' semalam.
Kesemua mangsa dipercayai terperangkap selepas kebakaran berlaku sekitar jam 10.20 malam itu turut menyebabkan letupan dan runtuhan bangunan.
Bagaimanapun insiden tersebut hanyalah simulasi Latihan Pengurusan Bencana (DMex) dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan semua jabatan terlibat menghadapi kemalangan dan bencana.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, latihan melibatkan lebih 100 anggota dari unit kebakaran, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu dianggap berjaya.
Menurutnya, latihan itu membabitkan dua senario iaitu kebakaran sebuah kilang cat melibatkan mangsa terperangkap dan kemalangan dua kenderaan dengan satu daripadanya tercampak dalam parit di hadapan pintu masuk kawasan kilang berkenaan.
"Dalam senario seperti ini kita dapat lihat keupayaan anggota untuk membuat operasi penyelamatan kemalangan jalan raya dan mangsa terperangkap dalam air.
"Seterusnya kita juga dapat lihat keupayaan anggota menyelamat mangsa terperangkap dalam bangunan kilang cat.
"Oleh kerana kilang ini mempunyai bahan-bahan berbahaya dan mengalami pula runtuhan, pasukan Hazmat digerakkan terlebih dahulu sebelum unit elit STORM menjalankan operasi mengeluarkan mangsa," katanya ketika ditemui.
Hadir sama Pegawai Daerah Hilir Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar.
Latihan menyelamat yang turut melibatkan 130 anggota jabatan dan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu berakhir sekitar jam 2.30 pagi.
Tiada kemalangan jiwa direkodkan kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan hanya mengalami kecederaan.
Mohamad Yunus berkata, selari dengan perkembangan pesat industri khususnya perkilangan di negara ini, latihan seumpama itu dapat menguji keupayaan dari segi koordinasi semua unit-unit dalam jabatan.
Katanya, latihan lebih mencabar dalam skala yang besar akan dilakukan dengan lebih kerap untuk memberi gambaran lebih tepat mengenai pengurusan logistik seperti kesediaan peralatan, tahap keberkesanan komunikasi dan kolaborasi perancangan strategik yang diatur bersama jabatan lain.
"Di Perak setakat ini, tiada kes-kes kebakaran kilang yang besar namun kita perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!