Cacing bersarang dalam mata
ZHEJIANG - Satu rakaman video menunjukkan seorang doktor berjaya mengeluarkan cacing parasit di dalam mata seorang lelaki selepas mengalami jangkitan dari anjing peliharaannya.
Lelaki terbabit dikenali sebagai Yan, 54, telah datang berjumpa dengan doktor pakar selepas mengalami konjunktivitis, mata yang berair dan sakit di mata kirinya.
Yan yang tinggal di bandar Ningbo di Wilayah Zhejiang Timur China, mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Mingzhou.
Lelaki tersebut didiagnos menghidap helaziasis keadaan yang dikenali sebagai jangkitan cacing mata yang menyebabkan keradangan dan boleh merosakkan penglihatan.
Media tempatan melaporkan, pemeriksaan awal oleh doktor Zhou Guping menemui tiga cacing parasit serta telur di mata kiri lelaki terbabit.
"Saya menyuluh cahaya ke dalam matanya dan melihat cacing sedang berenang di dalamnya.
"Cacing spesies thelazia callipaeda tersebut berukuran satu hingga dua sentimeter dan setebal benang jahitan biasa," katanya yang mengambil masa tiga minit mengeluarkan cacing dan telur tersebut.
Dr Guping juga menggunakan anti-parasit yang membantu membersihkan jangkitan.
"Cacing biasanya menyerang mata anjing dan kucing dan berkemungkinan jangkitan itu daripada anjing peliharaannya," kata Dr Guping. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!