Anak Musa Aman akhirnya angkat sumpah
KUALA LUMPUR - Setelah lapan bulan menghilangkan diri selepas PRU14 yang berlangsung 9 Mei 2018 lalu, akhirnya Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa mengangkat sumpah jawatannya hari ini.
Tepat jam 10.05 pagi, Yamani Hafez mengangkat sumpah di Kamar Khas Parlimen di depan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Selepas selesai upacara angkat sumpah, Mohamad Ariff mengucapkan tahniah kepada Yamani Hafez kerana telah memenangi Parlimen Sipitang.
"Saya yakin Yang Berhormat akan terus melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat ini dengan terhormat seperti yang dituntut keluhuran institusi ini.
"Oleh yang demikian, saya berharap semoga Yang Berhormat dapat memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah kepada Dewan Rakyat dan negara seterusnya dapat berkhidmat dengan cemerlang," katanya ketika berucap di majlis angkat sumpah di sini, hari ini.
Disember tahun lalu, Mohamad Ariff telah memberi amaran terakhir kepada anak bekas Ketua Menteri Sabah itu untuk mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen atau beliau akan hilang kelayakan.
Yamani Hafez memenangi kerusi Parlimen Sipitang dengan majoriti 852 undi dalam pertembungan 3 penjuru, selepas menewaskan pencabar terdekatnya, Noor Hayaty Mustapha daripada Warisan.
Pada 12 Disember lalu, bekas ketua Umno Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengetuai 36 wakil rakyat dan pemimpin kanan meninggalkan parti itu.
Walaupun tidak hadir, Yamani Hafez dikatakan turut bersama kumpulan itu meninggalkan Umno.
Sementara itu, pihak media yang diundang untuk menghadiri majlis angkat sumpah hari ini dihalang untuk mendekati Yamani Hafez dan dimaklumkan tiada sebarang sidang media akan dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!