'Saya benar-benar minta maaf'
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho telah meminta maaf kepada Eric Dier selepas mengeluarkan pemain tengahnya itu ketika menentang Olympiacos pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Ia gara-gara tindakan Mourinho menggantikan Dier dengan Christian Eriksen ketika perlawanan baru memasuki minit ke-29 pada aksi di Stadium Tottenham Hotspur itu.
Begitupun, percaturan Mourinho itu ternyata membuahkan hasil apabila Spurs bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum melakar kemenangan bergaya 4-2 ke atas Olympiacos.
"Perkara pertama yang saya mahukan katakan kepada pihak di luar sana, selepas sahaja tamat perlawanan saya telah meminta maaf kepada Eric Dier. Saya melakukan perkara itu (mengeluarkan Dier) kerana pasukan.
"Ia bukan disebabkan Eric bermain buruk, ia lebih kepada mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dihadapi selepas kami ketinggalan 0-2. Olympiacos bertahan dengan cukup baik, jadi saya memerlukan seorang lagi pemain yang mampu membentuk gandingan lebih baik dengan Dele Alli.
"Disebabkan itu, saya memerlukan seorang pemain tengah. Bagi saya, ia satu keputusan yang berat tetapi saya lakukan semua ini untuk pasukan. Untuk menjadikan situasi ini jelas, ia lebih kepada pasukan bukan individu. Saya benar-benar minta maaf tetapi apa yang penting adalah pasukan," kata Mourinho.
Selepas ketinggalan dua gol menerusi jaringan Youssef El-Arabi seawal minit keenam dan Ruben Semedo (19), percaturan Mourinho memasukkan Eriksen mula memberi impak apabila Alli meledak gol pertama Spurs pada masa kecederaan babak pertama.
Spurs semakin mendominasi perlawanan apabila Harry Kane menyumbang dua gol masing-masing pada minit ke-50 dan 77 manakala Serge Aurier menambah satu lagi gol buat The Lilywhites.
"Eriksen cukup mengagumkan. Dia menampilkan permainan yang cukup hebat dan luar biasa, sebab itu saya cukup menggemari corak permainannya," kata bekas bintang Spurs, Jermaine Jenas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!