'Kalau nak hidup senang, jangan jadi wakil rakyat'

Hantaran dimuat naik Najib di laman sosial Facebook miliknya.
Hantaran dimuat naik Najib di laman sosial Facebook miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri menyindir alasan Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul berhubung keletihan dalam kalangan Ahli Parlimen yang menjadi punca kehadiran wakil kerajaan kurang memberangsangkan di Dewan Rakyat semalam.

Dalam muat naik di laman sosial Facebooknya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Ahli Parlimen yang berbuat demikian sepatutnya tidak dipilih menjadi wakil rakyat.

"Letih? Apa yang meletihkan? Gaji berpuluh ribu ni. Kalau nak hidup senang, jangan jadi wakil rakyat.

"Yang korang buat hari-hari apa? Fikir jual aset. Fikir kroni," tulis Ahli Parlimen Pekan dalam hantaran Facebook hari ini.

Johari yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani hari ini dilaporkan berkata, keletihan dalam kalangan Ahli Parlimen yang terpaksa keluar awal dan pulang lewat hampir setiap hari adalah antara punca jumlah kehadiran wakil kerajaan tidak memberangsangkan dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Letih punca jumlah kehadiran MP kerajaan sedikit

Gara-gara kehadiran kurang memberangsangkan itu hampir menggagalkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, apabila pembangkang meminta undi belah bahagi dibuat bagi mengundi RUU berkenaan.

Kata Johari lagi, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) juga terikat dengan program tertentu menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat.

Malam tadi, sidang Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah antara wakil kerajaan dan pembangkang ketika sesi undian belah bahagi dilakukan bagi meluluskan RUU Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berikutan masalah kuorum.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kerajaan berjaya meluluskan RUU itu selepas menang tipis dengan empat undian apabila Speaker mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak.

Pembangkang kemudian meminta undian belah bahagi dibuat kali kedua namun keputusan kekal berpihak pada kerajaan apabila 45 wakil rakyat bersetuju untuk RUU itu diluluskan berbanding 28 tidak bersetuju.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!