Terengganu peruntuk RM1.4 juta laksana projek ternak rusa
KUALA TERENGGANU - Terengganu berhasrat untuk mengorak langkah menceburi industri penternakan rusa pada tahun depan dengan penyediaan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk pembangunan projek berkenaan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi tujuan itu kerajaan telah mengenal pasti tiga lokasi sesuai untuk dijadikan pusat penternakan rusa.
“Lokasi itu adalah Pusat Ternakan Haiwan di Chalok, Setiu, Ladang Informasi Veteriner di Bari dan Pusat Latihan Veteriner di Dungun. Insya-ALLAH kita akan putuskan salah satu pusat untuk dijadikan ladang penternakan rusa,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Maliaman Kassim (Pas-Ajil) mengenai status terkini cadangan kerajaan untuk mewujudkan pusat penternakan rusa di pusat penternakan haiwan Kampung Pak Kancil, Setiu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Menurut Dr Azman, projek tersebut masih di peringkat kajian terutama dari segi kos dan model perniagaan namun berdasarkan kajian dibuat mendapati kewujudan pusat penternakan rusa mampu menyumbang pelbagai faedah kepada para penternak.
“Projek ini mampu merakyatkan penternakan rusa dan kita buka peluang untuk penternak menceburinya secara komersial dan pusatnya boleh menjadi satu daripada sumber agihan baka rusa kepada penternak.
“Kedua, ia berpotensi sebagai ikon untuk agro pelancongan dan Terengganu juga boleh menuju ke arah satu sasaran sebagai pembekal daging rusa segar dan juga sebagai destinasi ‘food tourism',” katanya.
Beliau berkata, dengan harga daging segar mencecah antara RM60 hingga RM70 sekilogram, penternakan rusa boleh dijadikan sebagai alternatif. '
Malah menurutnya, haiwan itu boleh digunakan untuk pelbagai produk bernilai tinggi termasuk tanduknya digunakan dalam perubatan Cina.
Katanya, Terengganu mempunyai kekuatan untuk melaksanakan projek itu berikutan terdapat pakar dan pegawai rujukan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar selain amalan penternakan baik untuk penternakan rusa di daerah Lenggong, Perak.
“Rusa sejenis haiwan yang lasak, tahan penyakit dan jimat makanan kerana makanan yang dimakan oleh 10 ekor rusa menyamai makanan yang dimakan oleh seekor lembu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!