Kerajaan perlu tubuh agensi khas sektor pertanian: Daim

Daim
Daim
A
A
A

SUBANG JAYA - Kerajaan perlu mewujudkan agensi sehenti baharu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk menyelaraskan sektor pertanian jika kerajaan serius untuk menaikkan sektor itu, kata Tun Daim Zainuddin.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan dan bekas Menteri Kewangan itu berkata beliau telah menulis kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai cadangan itu untuk pertimbangan.

Beliau berkata, kerajaan perlu menangani pelbagai masalah untuk memperluaskan sektor itu termasuk kekurangan tanah, isu pekerja asing berikutan pekerja tempatan terus mengelak sektor tersebut dan pembiayaan.

“Kita hanya mempunyai satu bank pertanian yang menawarkan pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi berbanding bank lain manakala tanah merupakan urusan negeri.

“Petani juga perlu berbincang dengan pelbagai agensi kerajaan dan kementerian untuk membantu mereka menyelesaikan banyak masalah,” katanya pada sesi Nation Building Conversation anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) di sini hari ini bertemakan 'Poverty in Malaysia: Reality versus Perception'.

Turut hadir, Pengerusi Asli Tan Sri Jeffrey Cheah dan Ketua Pegawai Eksekutif Melissa Ong.

Daim berkata, jika kementerian dapat dijalankan seperti perniagaan, operasi boleh menjadi lebih cekap.

Melalui harga komoditi utama seperti getah dan minyak sawit yang merosot, negara perlu melihat kepada tanaman tunai lain dengan tempoh penuaian yang lebih pendek, katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, komoditi masa depan ialah kelapa berdasarkan tempoh penuaiannya yang lebih singkat selama tiga tahun dan kemampuan untuk menjana pendapatan berganda, serta tebu, nangka, nanas dan sayuran tanaman tunai lain seperti cili, timun dan bendi.

Daim berkata, negara juga perlu mencari kaedah untuk membantu generasi muda menceburi sektor pertanian dengan memperkenalkan teknologi moden baharu yang akan menarik kumpulan ini dan sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Mengguna pakai teknologi akan menjadikan sektor itu lebih menarik kepada generasi muda selain menjadikan sektor tersebut lebih produktif, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!