32 pusat hiburan, tempat pelancongan kena tindakan
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 32 pusat hiburan dan tempat pelancongan di seluruh negeri pada tahun ini atas pelbagai kesalahan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah beroperasi lebih masa dan tanpa lesen.
Menurutnya, daripada jumlah itu 14 kes diambil tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kemaman (8), Majlis Daerah Besut (5), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (4) dan Majlis Daerah Setiu (1).
“Tahun lepas, sebanyak 44 pusat hiburan dan tempat pelancongan telah diambil tindakan,” katanya menjawab soalan Wan Hapandi Wan Nik (Pas-Sura) tentang penguatkuasaan terhadap pusat hiburan, tempat pelancongan yang melanggar peraturan ditetapkan hari ini.
Dr Alias berkata, pihak berkuasa tempatan telah memberi penerangan dan penjelasan syarat-syarat yang perlu pengusaha patuhi semasa mengeluarkan lesen namun malangnya mereka masih melanggar peraturan.
“Maknanya mereka sudah tahu tapi tetap langgar syarat. Pegawai kita sentiasa membuat pemantauan dan memberikan nasihat namun penguatkuasaan akan diambil sekiranya mereka masih melepasi syarat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!