Laporan berita abu Chin Peng: Polis buka kertas siasatan

Chin Peng
Chin Peng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung laporan berita mengenai abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya juga telah mendapatkan bantuan daripada Polis Perak untuk menjalankan siasatan.

“Apa yang kita siasat ini adalah berdasarkan ia boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam kalangan masyarakat. Kenapa abu mayat ini dibawa masuk ke sini?

“Kita juga telah mengenal pasti tarikh dan jalan masuk abu mayat tersebut. Walau bagaimanapun kita akan beritahu kemudian, masih dalam siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tidak pernah benar abu mayat dibawa pulang

Bawa balik abu penuhi permintaan terakhir Chin Peng

Huzir berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504, 505 B Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, berdasarkan laporan media, satu kumpulan telah membawa pulang abu mayat Ching Peng dari Thailand dan dibawa masuk ke Perak.

Artikel Berkaitan:

“Dalam laporan berkenaan turut menyatakan abu berkenaan telah ditabur di di kawasan hutan banjaran Titiwangsa dan tengah laut di Lumut, Perak.

Huzir bagaimanapun menegaskan pendedahan mengenai berita abu mayat mendiang Chin Peng ini tiada kaitan dengan isu Jalur Gemilang bintang bucu lima.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 dan tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989.

Chin Peng pernah diburu pihak berkuasa Malaysia susulan pemberontakan PKM yang menyebabkan ramai rakyat negara ini terbunuh.

Berdasarkan laporan media Thailand, Chin Peng meninggal dunia pada usia 90 tahun iaitu pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.

Selepas kematian Chin Peng, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu mayat mendiang Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.

Terdahulu media melaporkan, penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurut penyelaras kumpulan itu, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.

Abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!