HORAS 600 mampu tampung bekalan air mentah musim kemarau
BESTARI JAYA - Projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 yang siap sepenuhnya 31 Oktober lalu mampu menampung bekalan air mentah selama 100 hari pada musim kemarau atau jika berlaku pencemaran yang menjejaskan sumber air di Sungai Selangor.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, idea pembinaan HORAS itu tercetus apabila Selangor berdepan cuaca panas luar biasa dan pengurangan kadar hujan ketara pada April 2014.
"Keadaan ini menyebabkan paras simpanan air mentah di Empangan Sungai Selangor menurun ke paras 37.88 peratus," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembangunan HORAS 600 di HORAS 600, Jalan Rawang, Kampung Sungai Darah di sini.
Amirudin berkata, bagi menangani krisis air di Selangor, kerajaan negeri membuat ketetapan membangunkan HORAS yang menelan belanja RM250 juta bagi kerja pengorekan kolam takungan.
"Sebanyak RM30 juta lagi diperuntukkan bagi kos kerja sampingan perlindungan cerun dan RM26 juta bagi rumah pam," katanya.
Menurutnya, kolam takungan itu dibina di kawasan seluas 211.39 hektar dengan kolam takungan seluas 147 hektar dan kedalaman 23.5 meter mempunyai kapisiti 300 Juta Liter Sehari (JLH).
"HORAS 600 merupakan kolam dwi-fungsi bertujuan menakung aliran air banjir dari Sungai Selangor dan air dari kolam dialirkan keluar ketika aliran rendah bagi menampung keperluan muka sauk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!