Karya Ruhaini Matdarin ungguli Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018
KUALA LUMPUR - Novel berjudul Hari-hari Terakhir di Jesselton, karya Ruhaini Matdarin diangkat sebagai pemenang yang mengungguli Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018 malam tadi.
Karya bagi kategori A iaitu Buku Sastera Dewasa itu membolehkan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000.
Manakala untuk kategori Cerpen Eceran, dimenangi oleh Nisah Haron dengan karya berjudul 'Perempuan dan Kain Layang'.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata, anugerah tersebut bertujuan memberikan pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu.
Katanya, ia juga bagi mengenal pasti karya-karya sastera yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan karya-karya sastera yang bermutu dalam bahasa Melayu.
"HSPM kali ini menilai karya yang terbit pada tahun 2017 dan 2018 dengan pencalonan dibuka pada bulan April 2019. HSPM 2017/2018 menghimpunkan seramai 27orang panel yang terdiri daripada tokoh dan pakar bidang sastera.
"Panel-panel ini telah menilai sejumlah 267 buku karya sastera dan 5132 karya eceran yang terdiri daripada genre novel, puisi, cerpen, drama, esei/kritikan sastera, biografi/autobiografi dan bahan bacaan untuk kanak-kanak dan remaja.
"Hasil daripada penilaian tersebut, panel memutuskan sebanyak 44 karya sastera layak dan diperakui sebagai pemenang HSPM 2017/2018. Walau bagaimanapun, panel memutuskan tiada pemenang untuk kategori Kumpulan Esei/Kritikan Sastera,Kumpulan Drama,Kumpulan Cerpen Kanak-kanak dan Remaja; dan Kumpulan Drama Kanak-kanak dan Remaja," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, Hadiah Tunas Cipta memberikan pengiktirafan kepada karya puisi dan cerpen yang dihasilkan oleh kanak-kanak berumur7– 11 tahun bagi Kategori Kanak-kanak dan 12–21 tahun untuk Kategori Remaja.
"Kehadiran mereka bersama- sama dengan penulis besar tanah air pada malam ini diharap dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk terus berkarya dan pada suatu hari nanti, melakar nama sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia," katanya.
Pada masa sama, Abang Sallehuddin berkata, DBP kini bergerak ke arah penerbitan digital di mana tahun hadapan DBP akan menerbitkan majalah digital yang bersifat masa sebenar atau real time.
"DBP juga akan mempergiat usaha mendigitalkan penerbitan untuk dimanfaatkan pembaca bukan sahaja dalam negara tetapi juga dapat dicapai oleh pembaca di luar negara.
"Selaras dengan perkembangan teknologi ini, DBP akan melihat semula syarat dan kategori dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi memastikan penerbitan digital turut sama dapat dinilai dan diberikan pengiktirafan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!