Buruh maut lori terbabas
KUALA KRAI - Seorang buruh maut apabila lori yang dinaiki bersama dua rakan terbabas di Kilometer 104, Jalan Kuala Krai - Gua Musang berhampiran Bukit Sungai Sam di sini tengah hari tadi.
Mangsa, Muhammad Hafiz Che Hamid, 28, beralamat di Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat, maut di lokasi kejadian apabila mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.
Ketua polis daerah, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 12 tengah hari yang mana kenderaan dinaiki tiga rakan itu dari arah Chiku, Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
Katanya, lori jenis Daihatsu itu dipandu Mohd Iqbal Hakim Kamarulzaman, 23, beralamat di Langkawi, Kedah, bersama dua rakan iaitu mangsa dan Shahrul Azmizan Awang, 30, beralamat di Kampung Paloh Palekbang, Tumpat.
"Tiba di lokasi kejadian, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok pinang di bahu jalan sebelah kiri.
"Pihak HKK (Hospital Kuala Krai) mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.
"Dua lagi rakannya cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!