Aktifkan alumni untuk perkasa sekolah

Dr Maszlee - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Maszlee - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak sekolah perlu mengaktifkan alumni masing-masing untuk memperkasakan sekolah melalui sumbangan bekas pelajar yang terdiri daripada pemain industri dan golongan profesional, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

"Selain membantu dari segi material, alumni juga boleh memberi motivasi dan membuka pemikiran pelajar-pelajar melalui perkongsian pengalaman yang boleh mencetus cita-cita dan impian di jiwa murid-murid," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta di sini hari ini, Maszlee berkata, infrastruktur sekolah yang sempurna melalui sokongan sumbangan pihak industri dan swasta, juga menyumbang kepada usaha menghasilkan kemenjadian murid yang lebih baik.

"Kementerian turut mengalu-alukan sektor korporat untuk membiayai aktiviti kokurikulum yang berkaitan dengan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta yang berhubung kait dengan Revolusi Industri 4.0," katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan menjadi 'rebutan' di kementerian lain, dengan memberikan contoh Datuk Jamil Rakon yang dahulunya timbalan ketua setiausaha kementerian itu, kini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

"KPM merupakan sebuah kementerian yang agak besar dan mencabar, bermakna sesiapa dari situ sentiasa jadi rebutan atau perhatian kementerian lain," katanya mengulas laporan sebuah portal mengenai beberapa pegawai kanan kementerian didakwa membocorkan maklumat kerajaan dan bakal ditukar. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!