Polis siasat semula kes kematian model warga Belanda
KUALA LUMPUR – Polis akan menubuhkan pasukan khas dari Kontinjen Kuala Lumpur dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi menyiasat semula kes kematian model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit yang terjatuh dari sebuah unit kondominium, dua tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ia susulan arahan Pejabat Peguam Negara selepas menerima keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner.
“Mahkamah Tinggi memutuskan kematian individu berkenaan disebabkan orang dikenali atau orang tidak kenali. Kita akan membuka semula kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Huzir berkata, pihaknya akan memanggil semula individu yang sudah dirakam percakapan atau belum dirakam percakapan sekiranya perlu.
Pada 8 Mac lalu, Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan kematian model berusia 18 tahun diklasifikasikan sebagai kecelakaan (misadventure) jatuh dari tempat tinggi.
Media sebelum ini melaporkan pada 7 Disember 2017, Ivana Esther ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai terjatuh dari sebuah unit kondominium di sini.
Sebelum kejadian, Ivana bersama pemilik kediaman yang juga seorang lelaki warga Amerika Syarikat, Alex Johnson dan isterinya, Luna Almaz, warga Kazakhstan, dilaporkan keluar minum di premis hiburan di Bangsar.
Selepas berhibur, ketiga-tiga mereka dilaporkan kembali ke kondominium sebelum suami isteri terbabit masuk ke bilik tidur manakala Ivana berehat di ruang tamu rumah.
Bagaimanapun, Ivana dipercayai ke balkoni di tingkat 20 dan terjatuh ke balkoni kediaman di tingkat enam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!