Tun M pelawa pemain auto Korea sertai NAP 2019

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SEOUL - Malaysia mahu terus meneroka kerjasama dalam sektor automotif dengan Korea Selatan terutamanya dengan pelancaran Dasar Automotif Nasional 201 (NAP 2019) yang akan datang, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, fasa pertama daripada tiga fasa NAP 2019 akan menumpukan kepada penambahbaikan dasar untuk diserapkan bersama teknologi baharu, termasuk modal insan dan kompetensinya.

"Jelas sekali anda telah mencatatkan kemajuan yang luar biasa. Saya mencuba kereta Hydrogen anda semalam dan prestasinya sangat baik dan saya kagum betapa senyap bunyinya.

"Industri automotif berkembang pesat dan teknologi perlu ditangani,” katanya pada mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri Korea di sini hari ini.

Mesyuarat meja bulat itu disertai ketua-ketua industri daripada 29 syarikat yang diketuai Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea, Yoo Myung-hee.

Dr Mahathir berkata, Malaysia ingin melihat pelaburan dalam pembuatan berteknologi tinggi dan sentiasa terbuka menerima pelaburan asing tanpa mengira asal-usul geografi dan sektor.

Bagaimanapun katanya, negara perlu lebih bijak dalam memilih industri yang ia ingin kembangkan berbanding sebelum ini di mana ia berpuas hati dengan apa juga jenis pelaburan.

"Hari ini, Malaysia ingin melihat pelaburan dalam pembuatan berteknologi tinggi seperti dalam Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), tenaga boleh baharu seperti solar, angin dan perkhidmatan yang mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang berpatutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah petanda kematangan ekonomi Malaysia yang semakin menghampiri kepada status negara berpendapatan tinggi," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran, banyak inisiatif diperbaharui dilaksanakan, beralih daripada pertumbuhan dipacu kerajaan kepada pertumbuhan dipacu swasta.

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan fiskalnya dan meningkatkan peranan sektor swasta dalam ekonomi, kerajaan Malaysia berhasrat untuk melupuskan pegangannya dalam pelbagai syarikat bukan teras dan bukan strategik,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia juga merupakan antara ekonomi yang paling berkedudukan baik di Asia untuk meraih manfaat besar daripada peralihan dan lencongan perdagangan yang disebabkan oleh tarif tinggi yang dikenakan oleh China dan Amerika Syarikat (AS) antara satu sama lain.

"Ini terutamanya kerana Malaysia secara umumnya mempunyai hubungan baik dengan semua negara di dunia, termasuk China dan AS.

"Ini menjadikan Malaysia tidak terlibat dalam pertelingkahan mereka, walaupun tidak ada satu negara pun, sama Malaysia atau Korea Selatan, yang tidak terlepas menerima tempiasnya berikutan rantaian bekalan global bersepadu yang kedua-dua negara itu menyertainya,” jelasnya.

Dalam konteks ini, Dr Mahathir berkata, syarikat Korea mungkin mahu menimbang Malaysia dengan serius sebagai sebahagian daripada destinasi pelaburan pilihannya untuk mengurangkan kesan daripada perang perdagangan itu.

Menurut Indeks Daya Saing Dunia WEF pada 2018, Malaysia berada di kedudukan ke-25 dari segi pembuatan berkualiti tingginya dan kesediaan melaksanakan Industri 4.0.

"Selain itu, Malaysia menawarkan tenaga kerja terlatih yang mahir berbahasa Inggeris, masyarakat berbilang kaum yang aman dan stabil, akses tersedia bagi keseluruhan ASEAN, ekonomi terbuka, persekitaran mesra pelabur, perlindungan kukuh hak harta intelektual dan paten serta prasarana jalan kereta api, jalan raya, pelaburan dan Internet yang sangat baik,” katanya.

Banyak syarikat besar Korea seperti Lotte, Samsung, POSCO, Hanwha dan SK Group, serta perusahan kecil dan sederhana seperti Kumkang Kind, Affluent Best Blending dan Youngreem Tech telah beroperasi di Malaysia.

Korea Selatan merupakan pelabur asing kelima terbesar di Malaysia.

Pada 2018, sejumlah 376 projek pembuatan dengan penyertaan Korea Selatan dilaksanakan dengan jumlah pelaburan bernilai AS$7.83 bilion (RM25.89 bilion).

Semasa mesyuarat meja bulat itu, Dr Mahathir diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!