Tunaikan tanggungjawab sebaiknya
SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Isteri juga pemimpin dalam mengendalikan rumah tangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumah tangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas jelas menyatakan kepada kita bahawa setiap daripada kita ada tanggungjawab masing-masing dan kita bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang diamanahkan kepada kita.
Menjadi orang yang amanah dan bertanggungjawab tidaklah mudah. Apalagi bila melibatkan duit. Dalam dunia akhir zaman ini, di mana keimanan itu makin menipis dek cintakan dunia lebih menguasai diri daripada cintakan ALLAH dan Rasulnya, manusia memandang ringan terhadap tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya.
Dalam perjalanan hidup dan pengalaman saya sebagai pekerja dan ahli dalam beberapa jawatankuasa, saya sangat sedih bila golongan agamawan yang hebat, berceramah sana sini dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat juga tidak dapat menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan baik.
Bagaimana kita akan menjawab kepada ALLAH pada hari perhitungan nanti apabila ditanya kenapa kita tidak menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan baik? Kenapa kita, misalnya, sangat jarang hadir mesyuarat apalagi untuk memberi sumbangan ilmu/pandangan? Mampukah kita menjawab: “Aku sangat sibuk dengan urusan lain.”
Saya bertambah sedih dan terharu apabila kita dilantik sebagai ahli dalam jawatankuasa tertentu dan ada bayaran bulanan yang diberikan, kita jarang sekali datang mesyuarat atau kalau datang pun sekadar menunjukkan muka sahaja ibaratnya. Tidakkah kita rasa bersalah bila buat begitu? Tidak terfikirkah duit yang kita terima tersebut akan dihisab ALLAH nanti?
Jika kita terlalu sibuk sehingga tidak mampu untuk tunaikan tanggungjawab dan amanah dengan sebaik mungkin, bukankah lebih baik kita letak jawatan. Itu sebenarnya lebih bertanggungjawab dan lebih amanah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang kami angkat menjadi penguasa (pemerintah) untuk mengerjakan sesuatu dan kami memberi upah menurut semestinya, maka apa yang dia ambil lebih daripada upah yang sepatutnya adalah satu kesalahan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Jangan kerana bayaran yang diberikan, kita hendak terus memegang jawatan tersebut. Tidakkah kita sedar bahawa kita tidak hidup sendirian. Banyak mata yang memerhati dan menilai. Jika kita orang agamawan, janganlah rosakkan pandangan orang pada golongan agamawan. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Begitu juga jika kita dilantik sebagai pemimpin, berusahalah untuk tunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaiknya. Jangan ambil mudah bila kita sudah dilantik sebagai pemimpin. Jangan salah guna kuasa yang ada di tangan kita sehingga kita menganiaya rakyat jelata.
Sebagai suami atau isteri pula, berusahalah untuk buat yang terbaik dan tidak mengambil mudah dengan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Apabila tanggungjawab dan amanah ditunaikan dengan baik, kasih sayang akan subur.
Guru juga mempunyai tanggung jawab dan amanah yang sangat besar dan berat. Ini kerana tugas mereka memanusiakan pelajarnya. Tunaikan tugas dengan penuh ikhlas dan buatlah yang terbaik demi menyempurnakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
Ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab besar dan berat juga. Ini kerana pembentukan keperibadian anak-anak bermula dari dalam rahim lagi. Bila sudah bergelar ibu dan bapa, tunaikan tanggungjawab dan amanah dengan sebaik mungkin agar anak-anak tidak terabai dan teraniaya.
Anak-anak juga ada tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka. Ibu bapa adalah lubuk pahala bagi anak-anak. Rebutlah peluang itu sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Berbuat baiklah kepada ibu bapa kerana itu adalah perintah ALLAH. Ibu bapa adalah amanah yang ALLAH serahkan kepada anak-anak. Jagalah amanah itu sebaik-baiknya agar kita diberkati di dunia dan akhirat.
Akhir kalam, jadilah seorang yang bertanggungjawab dan amanah. Wallahu a’lam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!