Pas persoal motif pilih 16 September bawa abu Chin Peng

 Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyifatkan tindakan pihak yang mengangkat martabat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng sebagai wira negara ini adalah fahaman salah dan sesat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu juga tidak menghormati pahlawan-pahlawan yang berjuang menentang penjajah khususnya menentang komunis suatu masa dahulu.

Malah beliau berkata, motif sebenar mereka memilih tarikh 16 September yang sememangnya signifikan dengan penubuhan Malaysia untuk membawa abu mayat mendiang Ching Peng ke negara ini turut mengundang persoalan.

"Langkah menghormati tokoh komunis itu menandakan hati mereka masih cintakan fahaman yang haram bagi negara ini. Penghormatan yang diberi bukan sekadar nama peribadi jasadnya tetapi kerana masih beriman kepada ideologinya.

"Paling tidak munasabah apabila kita melihat negara yang menganut ideologi komunis telah meninggalkannya dalam lipatan sejarah yang hitam dengan kezaliman, tiba-tiba masih ada makhluk dalam negara ini menunjukkan kecintaan kepadanya.

"Semua pihak mesti berwaspada terhadap 'penyakit' ini sebelum menjadi barah yang sukar diatasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan tersebut sangat tidak menghormati perjuangan kemerdekaan yang sebenar oleh umat Islam tanah air yang telah menentang penjajah sejak kedatangan Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511 Masihi sehinggalah kedatangan Belanda dan Inggeris.

"Perjuangan generasi awal itu menentang penjajah sejak mereka datang merompak kuasa pemerintahan Melayu Islam yang telah bertapak dan berdaulat di sini.

Artikel Berkaitan:

"Komunis adalah perjuangan pendatang yang membawa ideologi asing yang diimport. Penciptanya adalah Karl Marx, makhluk yang tidak beragama dan tidak menghormati bangsa yang lebih buruk daripada penjajah barat yang beragama itu.

"Maka cerita kebenaran membawa abu mayat Chin Peng tidak boleh dipandang hanya dari segi kemanusiaan dan keluarganya sahaja tetapi perlu dilihat kepada perjuangan yang tidak beragama dan berperikemanusiaan yang tidak layak diberi penghormatan di negara ini," katanya.

Semalam, media melaporkan abu mayat mendiang Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!