Abu mayat Chin Peng: Ibarat menyiram luka dengan air garam
SEHARI dua ini kecoh isu abu mayat mendiang Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua. Kelmarin sebuah portal berita melaporkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan banjaran Titiwangsa.
Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.
Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun.
Kerajaan sebelum ini memutuskan larangan bagi membawa mayat ataupun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.
Alasan utama ialah kerana kerajaan sensitif terhadap perasaan keluarga angkatan tentera, anggota polis dan orang awam yang dibunuh atau diseksa oleh PKM.
Ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengumumkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa masuk abu mayat atau memorabilia Chin Peng.
Memang mengejutkan bila tiba-tiba sahaja muncul laporan bahawa abu mayat Chin Peng telah dibawa pulang ke Malaysia.
Merak Jalanan turut terkejut. Siapa yang bawa masuk abu Chin Peng? Dan, siapa pula yang benarkan?
Kerajaan perlu siasat kes ini hingga ke lubang cacing. Walaupun Chin Peng telah mati tetapi rakyat terutama yang pernah hidup zaman darurat tidak pernah lupa dengan kekejaman yang dilakukan oleh PKM.
Peliknya, kenapa selepas lebih dua bulan baru berita ini dihebahkan kepada rakyat?
Hati rakyat Malaysia yang telah terluka kini umpama disiram dengan air garam. Sakit dan memedihkan.
Kerana itu sejarah amat penting. Sejarah tidak boleh diubah untuk mengangkat Chin Peng sebagai seorang wira.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!