Kumpul dana buat bayi lemas dalam tab mandi
BANGKOK - Seorang bayi lelaki berusia 11 bulan kini berjuang untuk hidup setelah lemas di dalam tab mandi dalam kejadian di Bangkok, Thailand.
York Skirrow, ditemui tidak sedarkan diri oleh pengasuhnya yang kemudian bergegas membawanya ke hospital.
Bayi itu dilaporkan mengalami kekurangan oksigen ke otak yang berkemungkinan menyebabkan kerosakan otak.
Sewaktu kejadian, bayi itu berhenti bernafas dan jantungnya terhenti selama 18 minit berikutan kejadian tragis itu.
Ibu bapa York, Nick dan Jana Skirrow, 36, dan 34, berkata, ketika kejadian mereka dilaporkan sedang mengajar.
Nick yang berasal dari Leeds, West Yorks berkata, dia tidak menolak kemungkinan insiden berlaku sewaktu pengasuh mahu memandikan bayinya itu.
"Pada masa sama pengasuh bimbang tentang api dapur yang masih menyala serta Rex, abang kepada York yang berusia dua tahun yang berkemungkinan berada di situ.
"Tiada siapa yang boleh pastikan, tetapi kami mengandaikan dia telah membuka paip. Sebelum ini dia telah melakukannya tetapi mungkin dia telah tergelincir," katanya.
York kini dilaporkan stabil dan berada di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta selama seminggu dan dijangka terus mendapatkan rawatan selama 10 hingga 14 hari lagi.
Menurut Charles Bagnall, kos rawatan sehari berjumlah £4,000 (RM21,500) dan mereka tiada pilihan berpindah ke hospital lain sehingga keadaannya stabil.
Keluarga ini mempunyai insurans swasta yang mencapai had £25,000 (RM134,000) dalam masa kurang dari seminggu.
Berikutan kejadian itu, kenalan kepada keluarga bayi berkenaan memulakan kutipan dana menerusi halaman GoFundMe untuk membantu membayar bil perubatan.
Sejak ditubuhkan enam hari lalu, jumlah kutipan berjaya mengumpulkan hampir £20,000 (RM107,000). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!