Kumpulan urus abu Chin Peng sedia beri kerjasama kepada polis
IPOH - Kumpulan penyelaras yang menguruskan abu mayat Chin Peng pulang ke negara ini sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.
Ketuanya Chai Kan Fook, 81, berkata, pihaknya tiada halangan untuk membantu polis sekiranya dipanggil memberi keterangan selepas membawa pulang abu berkenaan dari Thailand ke Malaysia, 16 September lalu.
"Tiada apa yang perlu ditakutkan, saya pun sudah tua, kita tunggu sahaja tindakan polis selanjutnya, jika dipanggil (beri keterangan) dengan baik, kami akan pergi," katanya seperti dilapor sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini.
Menurutnya, proses membawa pulang abu berkenaan dilakukan menggunakan jalan darat selepas mendapat nasihat peguam.
"Kami menghubungi rakan dan saudara mara di Thailand untuk membantu proses bawa pulang abu ini melalui jalan darat.
"Itu pun selepas mendengar nasihat peguam, tiada mana-mana undang-undang yang boleh menahan kami membawa balik abu Chin Peng ke tanah kelahirannya ini," katanya.
Beliau mengakui terkejut apabila keputusan membawa pulang abu berkenaan mendapat reaksi pelbagai pihak.
"Kami tidak ada apa-apa agenda pun dalam perkara ini sebaliknya ia telah diprovokasi oleh pihak-pihak tertentu.
"Apa pun, kami senang hati kerana dapat menunaikan hasrat Chin Peng," katanya.
Terdahulu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat bagaimana abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu boleh lolos ke Malaysia dari Thailand.
Siasatan kes berkenaan akan dibuat mengikut Seksyen 504, 505 B Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Berdasarkan laporan media Thailand, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia di usia 90 tahun iaitu pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.
Selepas kematiannya, Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu mayat mendiang Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!