Rumah Klasik Kuantan imbau kenangan
KUANTAN - Seorang jurugambar tidak menyangka bidikan lensa kameranya dengan tema sekitar 1950-an menjadikan karya itu tular di media sosial.
Mohd Faezrul yang memuat naik gambar berkenaan di Facebooknya mendapat perkongsian ramai di laman sosial terkenal.
Mohd Faezrul Helmi Heesham, 34, berkata, busana model dan latar belakang lokasi Rumah Klasik Kuantan menarik perhatian ramai yang melihat foto berkenaan.
Menurutnya, Rumah Klasik yang terletak di Galing menyimpan ribuan koleksi barangan antik bernilai tinggi.
"Saya mahu membawakan konsep vintage. Saya dan model yang juga klien sepakat mengenakan pakaian yang bertepatan dengan tema Rumah Klasik.
"Saya tidak menyangka idea itu menjadi dan kini tular di media sosial. Rumah Klasik bukan sahaja menempatkan barangan vintage tetapi dekorasinya berjaya mewujudkan semula momen dahulu kala," katanya ketika dihubungi.
Sentuhan Mohd Faezrul yang bijak bermain dengan elemen klasik dan emosi penonton ternyata membawa nostalgia kepada netizen.
"Bagi saya Rumah Klasik Kuantan satu destinasi unik dan patut dikunjungi jika ke Kuantan. Inilah lokasi yang boleh memberi kefahaman kepada generasi baharu mengenai kehidupan masyarakat zaman dahulu.
"Rumah ini juga memang menyediakan peluang untuk orang ramai merakam fotografi atau kenangan indah perkahwinan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!