Pemuda Amanah gesa kerajaan tangguh kenaikan harga RON95
Ketua Pemudanya, Mohd Hanis Alimin, berkata kerajaan Persekutuan seolah-oleh tidak memikirkan realiti kehidupan masyarakat akar umbi sekarang ini.
Katanya, kerajaan dengan sewenang-wenangnya bercadang untuk menaikkan harga RON95 setiap minggu, tanpa menyedari rakyat mula rimas dan semakin gelisah dengan cadangan tersebut.
"Pemuda Amanah Negeri Sembilan mengambil keputusan untuk mendesak kerajaan supaya menangguhkan perlaksanaan tersebut (apungkan RON95) kerana merasakan kerajaan dilihat seolah-olah gagal untuk memahami situasi semasa rakyat, melalui pengumuman itu.
"Rakyat semakin rimas dan gelisah dengan pelbagai istilah yang digunakan oleh kerajaan, apa yang rakyat faham, mereka hanya mahu harga minyak dikekalkan ataupun diturunkan secara beransur, memandangkan harga barang keperluan juga masih belum stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambahnya, beliau mencadangkan supaya kerajaan memikirkan suatu mekanisme lain agar harga minyak sekurang-kurangnya terus kekal atau turun demi kemaslahatan seluruh rakyat.
Dalam pada itu, Mohd Hanis memberitahu, ramai dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan menyokong kaedah program subsidi bersasar, namun itu hanya dilihat indah di atas kertas semata-mata.
"Kita secara dasarnya bersetuju subsidi minyak perlu disasarkan namun, buat masa ini biarlah keputusan perlaksanaan itu ditangguhkan.
"Rakyat ketika ini hidup dalam keadaan yang cukup mencabar dengan bebanan kos kehidupan yang semakin meningkat.
"Masyarakat Malaysia ini bukanlah hanya terdiri daripada golongan B40 semata-mata, realitinya sekarang golongan M40 juga amat terkesan dengan keadaan ekonomi semasa.
"Oleh yang demikian, Pemuda Amanah Negeri Sembilan, berharap isu polemik harga minyak ini dapat ditamatkan segera memandangkan bebanan ini bukan sahaja ditanggung oleh golongan B40 semata-mata, bahkan seluruh masyarakat Malaysia," katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu mencari solusi terbaik bagi menstabilkan harga minyak dengan kadar yang tidak membebankan rakyat, sesuai dengan Malaysia selaku negara pengeluar minyak.
"Kerajaan tidak boleh dilihat seperti pekak dan bisu setelah melalui beberapa kekalahan dalam siri Pilihan Raya Kecil yang lalu.
"Kerajaan perlu belajar segera, dari siri kekalahan PRK yang dizahirkan oleh rakyat. Pakatan Harapan berkempen untuk tidak menaikkan harga minyak sebelum PRU-14, kenapa sekarang perlu dinaikkan?," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN RON95 naik 1 sen setiap minggu mula Januari depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!