Abu Chin Pheng: Hormati keluarga mendiang, kata Annuar

Hantaran yang dimuat naik Annuar di laman sosial Facebooknya.
Hantaran yang dimuat naik Annuar di laman sosial Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO menyifatkan tindakan menabur abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan cubaan menyemarakkan perjuangan ideologi komunis sebagai dua isu berbeza.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pandangan bahawa perbuatan membawa pulang abu sebagai bersifat politik dan ditafsirkan untuk menghidupkan ideologi komunis serta melanggar keluhuran Perlembagaan Persekutuan adalah perlu ditolak.

Sebaliknya beliau berkata, isu menabur abu yang dilaporkan di laut Lumut, Perak dan hutan Banjaran Titiwangsa adalah sesuatu yang dianggap berkaitan ritual agama, adat atau kepercayaan kaum.

"Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 3 di mana semua rakyat mempunyai hak iaitu 'Islam ialah agama Persekutuan tapi agama lain boleh diamalkan'.

"Selain itu, sensitiviti ahli keluarga mendiang dalam soal agama atau adat dalam soal ini kita perlu dihormati," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Kelmarin, Annuar dilaporkan berkata, tiada masalah bagi abu mayat Chin Peng dibawa pulang selagi tidak melanggar undang-undang

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan urus abu Chin Peng sedia beri kerjasama kepada polis

Pada masa sama, Annuar menegaskan, sensitiviti mangsa kekejaman PKM termasuk perajurit yang terkorban serta majoriti rakyat Malaysia menolak ideologi komunis perlu dihormati.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mempersoalkan sama ada Tan Sri Tommy Thomas, yang pernah mewakili Chin Peng di mahkamah, menggunakan kedudukannya sebagai Peguam Negara kini "untuk menjayakan perjuangan anak guamnya."

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Kementerian Dalam Negeri perlu membuat penjelasan segera berhubung kebenaran membawa masuk abu mayat Chin Peng.

Penjelasannya itu katanya bukan sahaja untuk pengetahuan umum tetapi juga memastikan tiada sebarang unsur songsang seperti penyebaran masuk elemen komunis ke negara ini.

"Kekejaman Chin Peng dan anggota PKM tidak boleh dilupakan oleh rakyat Malaysia. Semoga isu abu ini tidak kembali membakar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!