Kedah negeri ketiga tertinggi kadar penceraian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah menduduki tangga ketiga kadar penceraian tertinggi di negara ini dan dikhuatiri mencatatkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kadar itu dicatat dari segi angka selepas Selangor dan Johor.

"Antara punca penceraian dikenal pasti ialah faktor ekonomi hingga membawa kepada salah faham, tidak bertanggungjawab ataupun tidak mampu membina keluarga hingga menyebabkan pasangan berkahwin itu bercerai.

"Bagaimanapun, kita sememangnya mengambil berat isu ini, malah membangkitkan masalah ini melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan berbincang dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Kedah (MAIK)," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Khatan Perdana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang turut hadir, Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Shariff di Ibu Pejabat JPJ Kedah di sini hari ini.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor berkata, tindakan termasuk melakukan pindaan terhadap kursus pra perkahwinan di Kedah yang dikenali sebagai Kursus Perkahwinan Siri 4 diambil bagi mengatasi masalah itu.

"Pindaan dibuat memandangkan kurang keberkesanannya kursus pra perkahwinan yang lama. Jadi, kita berharap pindaan ini akan lebih lebih berkesan.

"Bagaimanapun, kita akan meneruskan kursus lain seperti Kursus Pasca Perkahwinan dikenali 'Fasa Bulan Madu' untuk pasangan tempoh perkahwinan lima tahun ke bawah bagi mengurangkan kadar penceraian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Ismail (kiri) menyerahkan cenderamata kepada peserta pada Majlis Khatan Perdana JPJ Kedah di Ibu Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti di sini hari ini.
Dr Ismail (kiri) menyerahkan cenderamata kepada peserta pada Majlis Khatan Perdana JPJ Kedah di Ibu Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti di sini hari ini.

Menurutnya, kursus pasca perkahwinan dikenali 'Fasa Sehati Sejiwa' untuk pasangan tempoh perkahwinan enam hingga 10 tahun, Fasa Semarak Kasih (11-20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21-30 tahun) akan diadakan pada tahun seterusnya.

"Kita dalam usaha ke arah terbabit dan tindakan diambil berikutan kita mendapati ada pasangan sudah memiliki cucu namun tetap bercerai. Jadi, di mana yang tak kenanya. Kita setkan perkara ini supaya ada ambil bahagian," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri memulakan kursus-kursus berkenaan demi menangani kadar penceraian di Kedah, namun kadar penyertaan pasangan berkahwin terutama untuk kursus pasca perkahwinan dan lain-lain didapati tidak ramai.

"Kita akan memperkemaskan dan memperkasakan lagi kursus dan modul perkahwinan yang dilaksanakan di negeri ini dan meningkatkan kadar penyertaan pasangan.

"Pasangan berkahwin akan diberi kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi membolehkan mereka mendapatkan kerja sekali gus menaikkan ekonomi. Jika ekonomi jadi punca, maka kita sudah tutup salah satu faktor melalui cara ini," katanya.

Kadar perceraian sekitar 20 peratus daripada jumlah perkahwinan dicatatkan di Kuala Muda (24 peratus), Kota Setar (24.8 peratus), Kubang Pasu (26.1) dan Padang Terap (26.7 peratus) pada 2019.

Penceraian di Kedah pada 2019 adalah 23.6 peratus berbanding 12.7 peratus pada 2015 berdasarkan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!