Juruwang didenda RM4,000 kerana sembunyi kelahiran

No Image Caption
A
A
A

LIPIS - Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang juruwang menjelaskan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran, April lepas.

Majistret Shahrul Ehsan Hasim juga memerintahkan tertuduh, Azratul Azwana Zainudin, 27, dipenjara selama enam bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Pada penghakimannya, Shahrul Ehsan menasihatkan tertuduh yang bertubuh kecil itu supaya mengambil pengajaran daripada kesilapan itu dan tidak mengulanginya pada masa hadapan.

"Kita sering mendengar media melaporkan kejadian seperti ini. Kamu bernasib baik tidak didakwa di bawah pertuduhan membunuh yang lebih berat hukumannya," katanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 pagi, 13 April dengan meninggalkan janin di bilik tidur yang terletak di atas sebuah pasar raya di sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Nor Ezdiani Mohd Amari daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memaklumkan tertuduh tidak pernah mempunyai rekod kesalahan sebelum ini.

"Tertuduh juga membantu perbelanjaan keluarga dengan gajinya sekitar RM1,200 sebulan. Tertuduh amat menyesal dengan kesilapan itu berjanji tidak akan mengulanginya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor B Sathiyan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!