Budak koma jatuh pangsapuri

x-default
x-default
A
A
A
BUKIT MERTAJAM - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun koma selepas terjatuh dari balkoni tingkat dua Kuarters Bomba Pangsapuri Setia Wira, Taman Perai Utama di sini semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan tergelincir ketika cuba memanjat balkoni kerana mahu masuk melalui pintu dapur sebelum terjatuh dalam keadaan muka tersembam di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri dalam rumahnya dan dia dikatakan keluar rumah tanpa membawa kunci.

Menurutnya, ibu kanak-kanak itu yang berusia 33 tahun keluar dari rumah jam 9.30 pagi ke tempat kerja manakala bapa tirinya yang berusia 46 tahun berada di surau berhampiran kerana menghadiri program ceramah.

"Ahli keluarganya memberitahu yang mangsa mungkin terlupa membawa kunci ketika keluar rumah dan memanjat balkoni di tingkat dua untuk masuk melalui pintu dapur," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa cedera parah di kepala dan ditemukan dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Sehingga kini mangsa dilaporkan masih belum sedarkan diri.

"Polis telah mengambil keterangan ibu kandung, bapa tiri dan jiran mangsa untuk membantu siasatan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Difahamkan, mangsa adalah anak tunggal dan ibunya bercerai sejak 10 tahun lalu sebelum berkahwin dengan bapa tiri yang juga seorang pegawai bomba.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!