Pembangkang sebulat suara tolak RUU IPCMC
KUALA LUMPUR - Blok pembangkang sebulat suara akan menolak Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sekiranya ia dibentangkan di Parlimen kelak.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun RUU tersebut telah dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen namun Ahli Parlimen Bera itu menegaskan jawatankuasa itu merupakan ‘kosmetik dan lakonan semata-mata’.
Menurutnya, selepas membaca laporan disediakan jawatankuasa tersebut, Ismail Sabri menegaskan ramai pemegang taruh tidak bersetuju dengan klausa-klausa yang ada dalam suruhanjaya berkenaan.
“Kita tahu ramai yang tidak bersetuju IPCMC yang dicadangkan malah sewaktu jawatankuasa ini berunding dengan pemegang taruh, pakar perundangan dan perlembagaan juga dipanggil untuk berikan pandangan.
“Mereka juga tidak bersetuju kerana berpandangan IPCMC ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Nampaknya pemegang taruh tak bersetuju, pakar perlembagaan juga tak bersetuju.
“Tapi pihak kerajaan nampaknya ingin juga membawa IPCMC ke Parlimen untuk diluluskan. Kita tahu jika diundi untuk majoriti mudah, pihak kerajaan pasti menang,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
RUU IPCMC 2019 yang dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai lepas bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan PDRM.
IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada kebajikan anggota polis daripada bersungguh-sungguh menubuhkan suruhanjaya tersebut.
“Kita berpandangan sebelum perundangan ini diperkenalkan, sepatutnya pihak kerajaan lihat kepada kebajikan anggota polis, keluarga mereka.
“Saya dimaklumkan di Sabah dan Sarawak, balai polis dan pondok polis, perumahan polis dalam keadaan tidak baik dan perlu penambahbaikan. Kita berpandangan sebelum perkara lain dilakukan, kebajikan polis mesti diutamakan.
“Kita berjanji akan terus mempertahankan hak dan kebajikan pihak polis. Blok pembangkang buat keputusan bahawa kita akan berbahas dan menolak RUU IPCMC jika dibentangkan nanti,” katanya.
Keputusan sama turut disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili 18 Ahli Parlimen Pas termasuk presidennya, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Saya mewakili 18 Ahli Parlimen Pas, kami menolak cadangan pindaan RUU IPCMC ini. Soal kebajikan anggota, semangat kerja yang mereka ada sekarang perlu dipertingkatkan.
“Kebajikan mereka perlu diberi keutamaan berbanding IPCMC. Kami dari Pas menegaskan kami menolak RUU IPCMC,” katanya pada sidang akhbar sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!