Sembilan kementerian terlibat bangunkan Data Raya Pendidikan TVET

Dr Maszlee Malik. Gambar kecil: TVET
Dr Maszlee Malik. Gambar kecil: TVET
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan membangunkan satu pangkalan Data Raya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam usaha untuk memperkasa dan menambah baik bidang berkenaan.

Pangkalan data berkenaan akan dibangunkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Pembangunan Usahawan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selaku Jawatankuasa Kabinet PemerkasaanTVET (JKKPTVET).

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kali kedua JKKPTVET yang dipengerusikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada mesyuarat berkenaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah dinamakan sebagai ahli baharu sekaligus melantik Menterinya, Datuk Ignatius Darell Leiking sebagai ahli JKKP TVET.

Maszlee berkata, dengan Data Raya TVET dilihat dapat membantu pengumpulan data berkaitan permintaan daripada pihak industri bagi merancang unjuran pekerjaan atau memberi perhatian kepada bidang yang kritikal.

Katanya penglibatan kementerian-kementerian lain juga dilihat mampu menyebar luas dan memperkasakan kempen TVET Kebangsaan sekaligus meletakkan TVET setanding dengan bidang profesional lain.

"Dengan pelaksanaan Kempen Promosi TVET Kebangsaan yang merangkumi pertandingan mencipta logo kebangsaan TVET, pencarian TVET Influencer dan pengiktirafan TVET VIP juga turut giat dilaksanakan. Beberapa aktiviti bagi mempromosikan pemerkasaan TVET telah dilaksanakan seperti empat siri Ekspo Jelajah TVET dan Industry Dialogue yang telah berjaya mendapat penglibatan hampir 5,000 peserta.

"Segala inisiatif yang dilakukan oleh JKKP TVET akan mencorakkan masa hadapan negara pada masa akan datang dengan pelaksanaan yang sempurna tanpa sebarang kesilapan agar menjadi contoh kepada negara lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, di samping itu, sebanyak 20 strategi dan 15 syor telah digariskan kepada lima pemacu TVET dalam mencapai aspirasi kebangsaan ekosistem TVET dan aspirasi pelajar TVET berkemahiran tinggi sebagai sasaran Kerajaan untuk melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2020.

"Lima pemacu TVET tersebut adalah Badan Penyelaras TVET Negara, Model Pembiayaan yang mampan, Model Pemilikan Bersama dengan industri, Pemerkasaan Persijilan TVET (Industri) dan Penjenamaan TVET Kebangsaan Tunggal. Ia telah dilaksanakan dengan jayanya selain turut memberikan manfaat kepada rakyat dengan kemahiran tenaga kerja yang diutamakan.

"KPM berharap agar insiatif dalam memperkasakan dan menjayakan agenda pendidikan TVET ini dapat menyediakan peluang terutamanya kepada graduan dengan tahap kebolehpasaran yang tinggi bagi melahirkan graduan yang bekerjaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!