Basikal lambat dibaiki, kanak-kanak buat aduan polis
INDIA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dari Kerala memutuskan untuk membuat aduan polis gara-gara kelewatan sebuah kedai membaiki basikalnya.
Kanak-kanak bernama Abin itu pergi ke Balai Polis Meppayur bersama sekeping surat tulisan tangan bagi memaklumkan polis tentang hal tersebut.
Menurut surat bertarikh 25 November, pelajar sekolah Elampilad UP di Kozhikode itu menyatakan dia dan adiknya menghantar basikal mereka untuk dibaiki di kedai berkenaan pada 5 September lalu.
“Mereka mengambil wang pendahuluan sebanyak 200 Rupee (RM11) namun setiap kali kami menghubungi mereka, mereka sama ada tidak menjawab panggilan atau memberitahu akan membaikinya secepat mungkin," tulis Abin sambil menambah kedai itu tutup pada kebanyakan masa.
Menurut kanak-kanak itu, disebabkan tiada orang lain yang dapat pergi meninjau keadaan basikal mereka maka mereka terpaksa menulis surat berkenaan. Dalam suratnya, Abin turut meminta pihak polis untuk mengembalikan basikal mereka.
Susulan aduan tersebut, pihak polis menghantar anggotanya bagi mengetahui punca sebenar kelewatan.
Tuan punya kedai dilaporkan terpaksa menutup kedai untuk sementara waktu kerana kesihatan yang tidak mengizinkan dan juga kesibukan menguruskan perkahwinan anak lelakinya namun berjanji akan segera membaiki basikal kanak-kanak itu.
Terkini, pihak polis berkongsi perkembangan kes itu di laman Facebook dan menyatakan basikal kedua-dua kanak-kanak berkenaan telah dibaiki dan dihantar kepada mereka setelah lebih dua bulan 'tersadai'. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!