Beli rumah pada usia muda
KEKANGAN kewangan sering menjadi alasan untuk golongan muda terutama yang baru mula bekerja untuk memiliki kediaman sendiri.
Tidak dinafikan tangga gaji kecil dengan kos sara hidup tinggi selain harga rumah yang naik melampau-lampau menjadikan anak muda takut untuk memberi komitmen kepada jumlah hutang besar.
Ini disahkan Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin, yang mengakui kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah baharu dilancarkan kerana harga purata hartanah bernilai RM417,262 berbanding harga maksimum rumah mampu dimiliki hanya bernilai RM282,000.
Katanya, ketidakmampuan rakyat Malaysia untuk memiliki perumahan berasaskan nilaian harga semasa adalah sangat serius berdasarkan piawaian standard antarabangsa.
Akibat adanya sejumlah hartanah yang tidak dapat dijual, Johor terpaksa menurunkan harga minimum perolehan hartanah buat warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 sebagai langkah efisien bagi mengurangkan lambakan hartanah di negeri itu.
Menteri Besarnya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, penurunan harga siling penjualan itu bagaimanapun akan dijalankan menerusi dua insentif bersifat kempen yang akan dilaksanakan bagi tempoh tertentu.
Namun, apa yang diperkatakan ini ialah rumah baharu yang dikategorikan sebagai 'undercon', iaitu masih dalam pembinaan.
Sebenarnya, masih ada pilihan untuk memiliki rumah kerana ada kategori 'subsale' dan lelong yang harganya boleh didapati lebih rendah daripada pasaran jika kena gayanya.
Cuma bakal pembeli rumah pertama ini, janganlah seleranya tinggi sangat. Cukuplah sekadar melakukan sedikit kaji selidik babitkan lokasi, infrastruktur sekitar dan potensi untuk disewa.
Dan yang paling utama harganya sesuai dengan isi poket yang tidak berapa lebat.
Beginilah panduan asas untuk membeli rumah idaman. Apa sahaja yang kita buat, jika kita bermula dari kecil hasilnya akan kekal lama.
Selain daripada melalui proses belajar daripada 'zero to hero', kita juga akan mendapat pelbagai panduan yang akan melengkap ilmu untuk 'bersilat' dalam bidang ini.
Hartanah adalah aset yang tidak akan susut nilai. Jika ada kenyataan yang menjangkakan harga rumah akan turun pada tahun sekian sekian, maka anggaplah ia ceritera Hikayat Hangtu Siang.
Bermula dengan sebuah rumah kecil dengan permintaan sewa yang tinggi, percayalah anda akan dapat melihat lagi peluang lain untuk menjana pendapatan sampingan.
Yang penting, cuba dahulu baru tahu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!