Nurul Syafiqah pergi jua...
KOTA BHARU - Selepas 32 hari ibunya meninggal dunia, kanak- kanak menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala, Siti Nurul Syafiqah Hassan, 13 pula menghempuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya pada jam 12.27 tengah malam tadi.
Siti Nurul Syafiqah dijaga kakak sulungnya, Zubaidah Hassan selepas ibu mereka, Rosnani Mohamad, 41, meninggal dunia pada 26 Oktober lalu akibat sesak nafas.
Zubaidah berkata, adiknya itu tidak boleh menjamah sebarang makanan sejak dua hari lalu kerana mengalami ulser yang teruk selain batuk.
ARTIKEL BERKAITAN: Kakak pilu serah adik pada JKM
"Namun malam tadi, keadaan dia semakin tidak mengizinkan, kami semua ahli keluarga terdekat termasuk saudara mara berkumpul dan ada bersama arwah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan tidak sanggup melihat dia terus menderita menanggung kesakitan terutamanya apabila diserang penyakit sawan," katanya.
Jenazah Siti Nurul Syafiqah akan dikebumikan pada jam 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kampung Pangkal Kerdas bersebelahan dengan pusara arwah ibunya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kehidupan Siti Nurul Syafiqah tidaklah sebagaimana kanak-kanak lain apabila dia hanya mampu terlantar. Malah keadaannya lebih teruk apabila sering diserang sawan dan memerlukan penjagaan rapi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!