Tiga nelayan diselamatkan diserah kepada Indonesia

Shahrizan (kiri) memberi nasihat kepada tiga nelayan terbabit agar memasuki negara ini secara sah sambil diperhatikan Muhammad Febi (kanan).
Shahrizan (kiri) memberi nasihat kepada tiga nelayan terbabit agar memasuki negara ini secara sah sambil diperhatikan Muhammad Febi (kanan).
A
A
A

LUMUT - Tiga nelayan warga Indonesia yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 21 November lalu diserahkan kepada wakil kedutaan negara itu hari ini.

Nelayan terbabit, Ahmad Tohir Sharifudin, 31, Saiful Muamat Jen, 24, dan Safarman Damrah, 29, yang berasal dari Tanjung Balai, Asahan diselamatkan anggota APMM selepas mereka bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, bot pukat tunda yang dinaiki mereka bersama enam awak-awak dan tekong dikejar oleh kapal APMM selepas didapati menceroboh perairan negara di lapan batu nautika selatan Pulau Jarak di sini.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, adegan kejar yang berlangsung selama tiga jam itu terhenti bagi menyelamatkan tiga nelayan terbabit.

"Usaha menahan bot berkenaan menyebabkan berlaku dua kali pergeseran dan awak-awak dilihat membuang sesuatu ke laut termasuk pukat dan peralatan perikanan bagi menyekat bot APMM.

"Ketika menyelamatkan mangsa, bot nelayan Indonesia berkenaan berjaya lolos dengan terus meninggalkan tiga rakan mereka," katanya.

Shahrizan berkata, pihaknya percaya bot terbabit cuba menyeludup bahan terlarang ke perairan negara ini berdasarkan saiz bot yang lebih besar.

"Berdasarkan rakaman kelihatan nelayan-nelayan ini membuang sesuatu ke laut yang dipercayai bahan seludup. Kebiasaannya tangkapan APMM sebelum ini hanya membabitkan bot kecil dan tradisional dari negara itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun tiada bukti dan penemuan barang-barang yang boleh mensabitkan kesalahan jenayah terhadap mereka," katanya.

Penyerahan tiga nelayan terbabit kepada wakil kedutaan Indonesia, Muhammad Febi Khaira dilakukan di Pejabat APMM Perak di sini.

Menurut Shahrizan, ketiga-tiga nelayan itu diserahkan kepada kedutaan agar pihak berkuasa Indonesia dapat melakukan siasatan lanjut memandangkan bot terlibat berada di negara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!