Pemecatan Pengerusi Tetap AMK, timbalan, tak jejas PKR
PETALING JAYA - Pemecatan Pengerusi Tetap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhamad Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad tidak akan menyebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berisiko diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, ia tidak menjejaskan PKR kerana isu pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap adalah di bawah bidang kuasa peraturan bagi sayap AMK.
Beliau berkata, ia tidak melibatkan badan atau parti utama iaitu cabang-cabang dan PKR itu sendiri.
"Jadi mengikut pandangan pimpinan pada waktu ini, ia tidak menjejaskan satu perkara pun dalam isu dibangkitkan.
"Malah, kalau kita lihat pendaftaran PKR dan pendaftaran cabang itu yang ada pada RoS bukan sayap AMK atau Wanita," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Tegasnya, AMK dan Wanita PKR tidak berdaftar dengan RoS.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tarik balik surat pelucutan jawatan Pengerusi Tetap AMK, timbalan'
AMK tamatkan jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi Tetap
Terdahulu, Mizan Adli dan Mohd Ramly menerusi satu kenyataan bersama memberi amaran bahawa tindakan pemecatan mereka dari jawatan berkenaan akan menyebabkan risiko PKR diharamkan.
Mereka turut menggesa kepimpinan parti menyiasat perkara itu secara profesional serta tanpa prejudis kerana melibatkan status sah RoS.
Sementara itu, ketika mengulas sama ada kerusi bagi dua jawatan tersebut akan dikosongkan sewaktu Kongres AMK di Melaka nanti, Fahmi berkata, mengikut prosedur jika perkara itu sudah dimaklumkan kepada setiausaha, maka perkara pertama yang perlu diselesaikan pada permulaan kongres itu adalah mengenai isu pengerusi tetap selain isu kehadiran/kuorum.
"Saya jangka itu jadi perkara pertama diselesaikan lagipun hal berkaitan perkara ini berlaku pada kongres tahun lalu dan dibangkitkan semula... Saya percaya ia akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Timbalan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Hilman Idham hari ini yang menegaskan Mizan Adli kekal sah sebagai pengerusi tetap AMK, Fahmi berkata, beliau mengambil maklum tentang perkara itu tetapi tidak dapat memberi sebarang komen kerana belum membaca kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!