[VIDEO] Rakyat Brunei bersenam sambil selawat, zikir
BRUNEI - Senaman penting kerana ia bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan dan dapat menghindari diri daripada penyakit, malah mengurangkan tekanan setelah seharian berdepan dengan tugasan di pejabat mahupun di rumah.
Ramai dalam kalangan kita gemar mengikuti senaman seperti zumba mahupun aerobik yang disulami muzik rancak bagi menambahkan semangat untuk mengeluarkan peluh.
Namun, berbeza di Brunei Darussalam di mana mereka bersenam dengan alunan zikir dan nama-nama ALLAH seperti dalam sebuah video yang dikongsi oleh Ismael Haris melalui Facebooknya.
Menurut Ismael di dalam hantarannya itu, setiap kali program senaman yang dianjurkan di negara yang kaya dengan minyak dan petroleum itu, mereka akan menggantikan alunan muzik dengan zikir yang memuji nama ALLAH.
Menerusi video itu, kelihatan para peserta dalam sebuah program melakukan beberapa jenis senaman seperti regangan badan sambil berselawat yang dikendalikan seorang jurulatih senaman.
Perkongsian video tersebut kini tular di media sosial yang kini meraih 163,000 tontonan, 1,900 tanda suka dan rata-rata netizen memberi komen positif di samping memuji dan mendoakan kesejahteraan negara Islam yang mengamalkan konsep patuh syariah tersebut.
Ada di antara netizen khususnya rakyat Malaysia mengharapkan agar negara ini juga menggunakan konsep yang sama dalam mendapat keberkatan daripada ALLAH dalam melakukan perkara yang menyihatkan tubuh badan.
"Alhamdulillah setuju sangat kalau senaman sambil berzikir tapi kita kena tahu semua Muslim ke yang bersenam tu.
"Di Malaysia kita berbilang kaum dan agama, sesuai ke kalau kita berzikir sedang semua agama ada...," luah Maili Hamzah di Facebook.
Waizz Latipp pula memberitahu, "Untung negara bawah pimpinan Raja yang berwibawa, beliau bukan jenis cakap besar dalam siaran langsung, beliau tak banyak bercakap tapi menjalankan amanah, bersyukur lah Brunei."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!