Wan Azizah sah rasmi Kongres AMK, Azmin rasmi Kongres Wanita PKR

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Kongres Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali manakala Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Fahmi berkata, pihak sekretariat Kongres Wanita PKR telah memaklumkan mengundang Mohamed Azmin untuk merasmikan kongres yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), 5 Disember ini.

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada Mohamed Azmin akan hadir atau tidak untuk merasmikan kongres tersebut.

"Ini kerana ia di bawah penganjuran sekretariat bagi Kongres Wanita PKR.

"Tapi setakat ini, biro politik dan sekretariat belum dimaklumkan tentang perkara itu," katanya.

Bagaimanapun menurut sumber terdekat PKR, Mohamed Azmin difahamkan akan hadir dan merasmikan Kongres Wanita PKR itu nanti.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai desas-desus mengatakan Mohamed Azmin kononnya akan mengadakan satu kongres berasingan pada Kongres Nasional PKR nanti susulan namanya digugurkan daripada merasmikan Kongres Nasional AMK pada kali ini, Fahmi berkata, beliau percaya perkara itu tidak akan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, untuk menganjurkan kongres adalah satu usaha yang memerlukan sumber agak besar, pengurusan yang rapi serta bukan perkara enteng.

"Maka saya lihat khabar angin atau ura-ura itu bukan satu perkara yang serius.

"Persiapan untuk mengadakan kongres bukan sesuatu yang boleh dibuat semalam kerana notis perlu dikeluarkan awal untuk memanggil semua perwakilan hadir, "katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!