Permohonan Jamal batal saman Teresa didengar 3 Januari depan

Jamal
Jamal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk membatalkan saman Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok Suh Kim berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) akan didengar pada 3 Januari tahun hadapan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu dalam kamarnya ketika pengurusan kes hari ini.

Peguam, Mohammed Nasser Yusof hadir mewakili Jamal sementara peguam, Elyse Ng Zi Qian hadir bagi pihak Kok.

Mohammed Nasser yang ditemui pemberita selepas prosiding berkata, Jamal selaku defendan memfailkan permohonan itu pada 25 April lepas atas alasan tiada kausa tuntutan yang munasabah dalam tuntutan plaintif.

"Kausa tuntutan yang dibawa oleh plaintif adalah defendan memfitnah plaintif telah melesapkan wang Yawas. Aduan telah dilakukan oleh defendan di atas tuduhan pecah amanah wang Yawas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sehingga kini siasatan masih dijalankan dan tiada kata putus diberikan oleh pihak SPRM. Oleh itu, kausa tuntutan yang dibawa oleh plaintif adalah pramatang kerana keputusan siasatan masih belum diberikan," katanya.

Pada 6 April 2017, Teresa memfailkan saman terhadap Jamal berhubung dakwaan Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang akhbar pada 8 Mac 2017.

Dalam penyataan tuntutan itu, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injuksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!