Lebih 600 jemaah tunai solat Subuh setiap hari
TEMERLOH - Ketika azan Subuh dilaungkan, kelihatan lebih 600 jemaah sudah bersedia di 13 saf untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.
Itu yang berlaku setiap hari di Masjid Temerloh Jaya di sini apabila jemaah hampir memenuhi ruang solat masjid berkenaan untuk menunaikan rukun Islam kedua secara berjemaah.
Masjid Temerloh Jaya yang boleh memuatkan 800 jemaah pada satu-satu masa tular selepas suasana di rumah ibadah itu tetap meriah dan dipenuhi jemaah walaupun pada solat Subuh.
Situasi ini boleh dikatakan satu suasana yang jarang dapat dilihat di negara ini.
Masjid bebas dikunjungi dan dibuka 24 jam antara faktor Masjid Temerloh Jaya sentiasa dipenuhi serta dikunjungi jemaah dan komuniti sekitar kawasan itu.
Di sebalik itu, pastinya ada usaha keras oleh pihak pengurusan masjid yang komited bagi memastikan masjid berkenaan lokasi pilihan setiap lapisan masyarakat.
Jika sebelum ini hanya tiga saf jemaah yang ada untuk menunaikan solat jemaah, namun kini hampir 13 saf di masjid berkenaan dipenuhi jemaah setiap hari untuk menunaikan solat Subuh.
Ini membuktikan usaha jawatankuasa masjid untuk menarik jemaah mengimarahkan masjid adalah bukan perkara yang mustahil.
Pengerusi masjid, Dr Abdullah Ismail memberitahu, jawatankuasa masjid terdiri daripada 12 individu komited menjayakan pelbagai agenda dalam pelan strategik 2016-2020 untuk mengimarahkan masjid terbabit.
"Pelan tersebut menyasarkan enam perkara iaitu solat berjemaah menjadi keutamaan, menganjurkan pelbagai program ilmu merangkumi semua aspek.
"Selain itu, menjadikan masjid ini sebagai medan silaturahim antaranya Makan Perdana dengan menjamu jemaah setiap Khamis minggu pertama setiap bulan.
"Kekuatan kewangan yang juga datang dari jemaah sendiri dan masjid akan manfaatkan sebaik mungkin untuk komuniti dan keselesaan serta keperluan buat jemaah," katanya.
Beliau berkata, menggunakan tagline 'Masjid Temerloh Jaya, Masjid Kita' juga membuatkan jemaah berasa masjid adalah milik bersama.
"Kita sentiasa menekankan kepentingan berjemaah khususnya pada solat Subuh bagi menjadikan mereka komited datang ke masjid ini setiap hari ini," katanya.
Selain itu, katanya, masjid yang mengamalkan konsep mesra kanak-kanak dan tiada larangan khusus membuatkan jemaah terutamanya ibu bapa selesa beribadat dan berbesar hati mengunjungi masjid ini
"Malah selain menganjurkan kelas fardu ain, kelas tambahan, khatan perdana serta aktiviti lain, kita juga menyediakan ruang bersantai seperti karom, ping pong serta memanah buat mereka," katanya.
Tambahnya, pengurusan masjid itu juga sanggup melabur besar untuk memastikan keselesaan jemaah selain dapat menarik minat masyarakat datang ke masjid berkenaan.
"Antaranya penyediaan pendingin hawa, karpet yang sesuai selain sistem pembesar suara yang terkini dan memastikan pekarangan dan kemudahan yang ada sentiasa bersih.
"Selain itu, kita akan menambahkan lagi jumlah imam yang ada dalam tempoh terdekat. Buat masa ini kita memiliki dua imam lantikan jabatan dan tiga lantikan sendiri," katanya.
Menambahkan keyakinan jemaah, terdapat papan khas elektronik disediakan memaparkan jumlah sumbangan pada solat Jumaat setiap minggu di masjid tersebut.
Mengakui pelbagai impak positif sejak tular, pengurusan masjid itu tidak lokek berkongsi ilmu dengan masjid-masjid lain yang ingin mencontohi jejak langkah Masjid Temerloh Jaya.
"Kita seringkali menerima kunjungan daripada masjid-masjid dari seluruh negara yang berminat mencontohi pengurusan masjid ini dan sedia berkongsi ilmu dengan masjid-masjid lain," katanya.
Masjid yang menelan belanja kos kira-kira RM5 juta mula dibina pada 2006 dan beroperasi pada Julai 2010 dengan keluasan kira-kira 1.2 hektar itu boleh memenuhi hingga 800 jemaah pada satu masa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!