Nazrin boleh selamatkan diri jika sedar, kata saksi

Samirah keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas perbicaraan selesai hari ini.
Samirah keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas perbicaraan selesai hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini tiga sebab mangsa mungkin dapat menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut.

Saksi ke-13 pendakwaan, Tan Hoss Ban Agem, 29, yang juga pegawai bomba berkata, bilik yang luas, hanya tilam terbakar dan asap berada di bahagian atas menjadi faktor Nazrin dapat menyelamatkan diri.

Ketika menjawab soalan ketua pasukan pembelaan, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tan Hoss berkata, jika Nazrin berada dalam keadaan sedar, dia boleh menyelamatkan diri kerana ruang lain tidak terbakar kecuali tilam malah asap dalam bilik masih sedikit iaitu tidak melepasi pinggang.

Tan Hoss: Ruang bilik juga luas maka dia boleh lari ke ruang lain yang tidak terbakar.

Muhammad Shafee: Bila encik naik dan masuk dalam bilik, berhadapan dengan mayat Nazrin, encik cakap keadaan tubuh mangsa berada dalam keadaan kejung.

Tan Hoss: Ya, kejung atau kaku kerana ia menunjukkan tangan, kaki dan semua anggota badan terbaring, tidak bergerak. Dengan kata lain, kenyataan saya merujuk mangsa seakan-akan sudah meninggal dunia.

Muhammad Shafee: Saya katakan, jika bangunan terbakar, ada orang nak lari, tetapi dia jatuh lalu mati di tangga. Ada encik jumpa pengalaman seumpama itu?

Tan Hoss: Tidak.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Jika keadaan rumah terbakar. Kita tak boleh atau jumpa mayat dalam keadaan yang sama seperti SOP.

Bagaimanapun Tan Hoss yang bertindak sebagai ketua operasi pasukan bomba ketika kejadian, bersetuju dengan saranan Muhammad Shafee, jika berlaku kebakaran, mayat akan dijumpai dalam pelbagai cara bergantung kepada fakta kes.

Terdahulu balu Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman disambung Isnin depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!