206 pembeli rumah terbengkalai bakal terima geran tanah: MB

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Pembeli projek perumahan terbengkalai di Taman Perpaduan Heights, Kuala Pilah yang berlarutan sejak 13 tahun lepas bakal menerima geran tanah selewat-lewatnya akhir bulan Mac tahun hadapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, itu jalan penyelesaian bagi kesemua 206 pembeli yang terjejas bagi membolehkan mereka mendirikan rumah di atas tanah disediakan kerajaan negeri seluas 13.29 hektar di Ulu Muar, Kuala Pilah.

Katanya, tanah itu dipecahkan mengikut lot dengan setiap lot ada yang berkeluasan 3,000 kaki persegi (kps) dan 5,000 kps.

"Saya telah meminta kepada pejabat daerah dan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) serta unit perumahan memastikan berakhir 30 Mac, kita mampu memberikan geran tanah kepada para pembeli ini.

"Selepas itu, mereka boleh uruskan untuk membina rumah mereka dan membuat apa juga keperluan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pembeli Taman Perpaduan Heights, Kuala Pilah di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong.

Tambahnya, bagaimanapun kerajaan negeri telah memutuskan untuk tidak membenarkan para penerima menjual semula tanah yang disediakan supaya tanah itu dapat dimanfaatkan semula oleh generasi akan datang.

"Kita tidak mahu hari ini beri geran esok sudah jual, ini tidak menyelesaikan masalah. Mungkin bukan mudah untuk dijual...mereka perlu bawa ke mesyuarat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) untuk dapatkan kebenaran dan semua pertimbangan itu kita harus lihat juga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai tapak projek perumahan terbengkalai itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri akan berbincang bersama pihak bank dan pembeli untuk mengambil alih semula tanah berkenaan.

"Tapak lama kita sedang berunding untuk diserahkan kepada kita supaya mereka (pembeli) tidak terbeban. Kalau tidak mereka harus membayar cukai pintu, cukai tanah dan sebagainya, jadi perkara ini kita ingin selesaikan dengan cara baik," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!