Guan Eng kritik kerajaan Sarawak ghairah serang kerajaan Persekutuan
PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengkritik kerajaan Sarawak yang begitu ghairah menyerang kerajaan Persekutuan sehingga sanggup membuat dakwaan tidak berasas.
Katanya, kerajaan Sarawak juta tidak menunjukkan rasa bersalah dengan dakwaan palsu terhadap kerajaan Persekutuan berhubung agihan hasil cukai pelancongan bagi 2018.
Menurutnya, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sehingga kini tetap berdegil mengulangi kenyataan bahawa negeri itu telah didiskriminasi kerana tidak dibayar hasil cukai tersebut.
"Amatlah mudah untuk kerajaan Sarawak mengesahkan sama ada pembayaran hasil cukai pelancongan telah dilakukan dengan menulis surat kepada Kementerian Kewangan.
"Malangnya, mereka gagal berbuat demikian dan memilih untuk menyerang kerajaan Persekutuan berdasarkan dakwaan palsu yang berbentuk fitnah. Kerajaan Persekutuan telah menjelaskan bahawa pembayaran hasil cukai pelancongan masih belum dilakukan dan akan diterima oleh semua negeri tanpa diskriminasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Abdul Karim mendakwa, negeri itu masih belum menerima pembyaran agihan hasil cukai pelancingan dari kerajaan Persekutuan yang dianggarkan berjumlah lebih RM2.7 juta.
Abdul Karim menjelaskan, jumlah agihan hasil cukai pelancongan yang belum dibayar kepada Sarawak bagi tempoh 1 September hingga 31 Disember 2017 adalah sebanyak RM439,731.
Manakala bagi tempoh 1 Januari hingga September 2018, jumlah agihan hasil cukai tersebut yang belum dibayar oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri adalah sebanyak RM2.3 juta.
Mengulas perkara tersebut, Guan Eng berkata, agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada semua negeri masih belum dilakukan.
"Ia akan dilakukan setelah perakaunan hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 dimuktamadkan dan pembayaran akan dilakukan di dalam suku pertama tahun 2019.
"Kedua, menurut Perlembagaan Persekutuan, cukai ini dibayar kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tiada hak terhadap hasil daripada cukai.
Namun, atas dasar hormat terhadap negeri-negeri, agihan 50 peratus dari hasil cukai tersebut akan diberikan seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019," jelasnya.
Tambahnya, agihan akan dibuat tanpa mengira sama ada negeri masih berhutang dengan kerajaan Persekutuan atau terdapat tunggakan hutang.
"Ini bermakna Sarawak tetap akan menerima bayaran hasil cukai pelancongan sungguhpun negeri itu masih berhutang RM2.5 bilion dengan tunggakan hutang hampir RM50 Juta kepada kerajaan Persekutuan.
"Sekiranya kerajaan Sarawak masih mahu memanjangkan perkara ini berdasarkan dakwaan palsu yang berbentuk fitnah, ia akan menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!