Padah menyamar anggota polis

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Raub hari ini.
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Raub hari ini.
A
A
A

RAUB - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Raub di sini hari ini atas dua pertuduhan menyamar sebagai anggota polis pada 27 November lalu.

Tertuduh, Mohamad Ali Zainal, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim sementara pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Shamfuliza Azami.

Shahrul Ekhsan memerintahkan hukuman tersebut dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Ali didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis kepada Habsah Baharuddin, 63, di Jalan Tun Razak di sini antara jam 12.30 tengah hari pada 27 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis tanpa menunjukkan kad kuasa kepada penumpang bas Pahang Lin Siong di bandar Raub pada hari kejadian.

Salah seorang penumpang mengadu kepada pemandu bas terbabit selepas tertuduh meminta kad pengenalan penumpang dan meminta wang pada setiap penumpang dan sekiranya tidak diberikan, ujian air kencing akan dijalankan setibanya di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!