MCA buka keahlian kepada bukan Cina
SHAH ALAM - "Kita akan membuka keahlian kepada rakyat bukan Cina," itu reaksi Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon bagi mengulas berhubung salah satu daripada tiga isu utama yang bakal diberikan tumpuan pada Perhimpunan Agung MCA ke-66 yang bakal berlangsung di Wisma MCA Ahad ini.
Sin Woon berkata, isu itu sudah lama dibincangkan sebelum ini kerana menyedari penyokong dan pengundi MCA tidak hanya tertumpu kepada kaum Cina semata-mata.
Menurutnya, pembukaan keahlian itu secara tidak langsung akan menyediakan platform untuk masyarakat bukan Cina di negara ini menyokong MCA.
"Kita akan buka keahlian kepada ahli bersekutu bukan Cina. Mereka ini seperti kelab penyokong. Kita sudah bincang perkara ini ketika Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Presiden MCA lagi.
"Lagipun, negara kita majmuk dan pengundi MCA bukan hanya orang Cina. Sebelum ini tak ada platform. Selepas ini ada lah," katanya.
Tambah Sin Woon, Perhimpunan Agung MCA kali ini juga akan menyaksikan perubahan kepada pemilihan parti
Katanya, pemilihan parti akan tetap dilakukan sekurang-kurangnya setiap tiga tahun tetapi hanya dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya pilihanraya umum (PRU).
"Kita ubah pemilihan parti. Kita kekalkan sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi hanya selepas enam bulan PRU.
"Jadi tak perlu risau pasal pemilihan parti, lawan ketua bahagian, perwakilan dan lain-lain. Tak payah. Hanya fokus untuk menang PRU dan selepas itu baru kita fokus kepada pemilihan.
"Kita juga akan kuatkan lagi kerjasama di setiap peringkat bersama UMNO dan MIC sebagai persediaan PRUakan datang. Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah contoh terbaik. Sebelum ini kita bergerak solo tetapi di Tanjung Piai kita buat sama-sama dan ia berkesan," katanya.
Sementara itu Sin Woon berkata, MCA turut menurunkan had umur daripada 18 tahun kepada 16 tahun untuk menyertai parti berkenaan.
Katanya penurunan had umur itu selaras dengan keputusan Parlimen yang meluluskan meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
"Kita buka keahlian parti kepada 16 tahun. Sebelum ini 18 tahun. Secara tidak langsung memberi kita peluang mendekati golongan muda," katanya,
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!