Perak tidak mahu ulangi kesilapan pentadbiran lalu dalam pertanian
IPOH - Kerajaan Perak tidak mahu mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu bagi membangunkan golongan sasar dalam sektor pertanian.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan sebelum ini gagal mencapai sasaran dalam projek pertanian berskala besar walaupun melabur jutaan ringgit.
Menurutnya, lebih menyedihkan golongan sasar yang sepatutnya dibantu tidak menikmati manfaat seperti yang dijanjikan.
"Ada antara mereka yang meninggalkan kawasan projek ini kerana pelabur telah menarik diri daripada usahasama yang diwujudkan.
"Kerajaan negeri dan PPPNP (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak) akan mengkaji dan belajar daripada kesilapan. Kita akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengelak mengulangi kesilapan sama supaya kita benar-benar dapat membantu golongan sasar dan memajukan sektor pertanian negeri.
"Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa kita tidak hanya belajar daripada kejayaan orang lain tetapi juga melalui kegagalan mereka," katanya ketika berucap merasmikan Perak SADC Agrofest 2019 hari ini.
Beliau berkata, satu daripada projek yang dilaksanakan kerajaan negeri ialah Agro Valley di Wilayah Bukit Sapi Mukim Lenggong di Hulu Perak melibatkan kerjasama antara kerajaan, orang perseorangan dan pihak swasta dengan sasaran nilai pelaburan mencecah hingga RM1 bilion.
Katanya, projek merangkumi tanaman kontan, sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan dan industri hiliran itu dibangunkan bersama dengan penempatan dan penduduk diberi peluang menjalankan pertanian secara berkelompok atau bekerja dengan syarikat pelabur.
"Peserta dalam penempatan Desa Agro ini adalah mereka yang kurang berkemampuan supaya dapat mengubah kehidupan masing-masing.
"Ini sekali gus membuktikan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri tidak memberi perhatian kepada sektor pertanian kerana mengurangkan peruntukan sektor pertanian pada Belanjawan Negeri 2020. Itu tidak benar sama sekali," katanya.
Jelasnya, peruntukan sektor pertanian diselaraskan selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 untuk mengoptimumkan impak peruntukan secara lebih tersasar di samping mengurangkan pembaziran serta pertindihan perbelanjaan kerajaan negeri.
Pada majlis sama, Ahmad Faizal turut menyempurnakan pelancaran direktori PPPNP dan menandatangani polisi anti-rasuah.
Hadir sama, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.
Perak SADC Agrofest 2019 diadakan selama empat hari bermula 28 November lalu di pekarangan Ibu Pejabat PPPNP.
Program julung kali itu bagi membuka peluang orang ramai membeli barangan segar termasuk ayam, daging, rusa, ikan, udang, sayuran dan buah-buahan dengan harga lebih rendah berbanding pasaran.
Turut diadakan pameran alatan pertanian, lembu sado, jualan anak pokok, petting zoo dan 15 gerai jualan makanan serta minuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!