Safawi dicalonkan gol terbaik Liga AFC
GOL menakjubkan jaringan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid ketika menentang Shandong Luneng dicalonkan untuk gol terbaik Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019.
Gol pemain sayap berusia 22 tahun yang menjaringkan dua gol ketika kemenangan Malaysia ke atas Indonesia dalam perlawanan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini merupakan satu daripada 10 calon gol terbaik, menurut laman sesawang AFC hari ini.
Sembilan calon lain adalah Islom Tukhtakhujaev dari PFC Lokomotiv, Gonzalo Viera (Al Rayyan), Sergio Antonio (Kashima Antlers), Shojae Khalilzadeh (Persepolis), Khojiakbar Alijonov (Pakhtakor Tashkent FK), Kim Dae-won dari Daegu FC, Romario Ricardo Silva (Al Ittihad), Khalid Muneer (Al Duhail) dan Fabrício dos Santos dari Urawa Reds.
Muhammad Safawi menjaringkan gol jarak jauh pada minit ke-60 perlawanan tersebut yang berakhir dengan kekalahan JDT 1-2 pada 9 April di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan di Shandong.
Peminat bola sepak tempatan boleh mengundi untuk Muhammad Safawi di https://www.the-afc.com/competitions/afc-champions-league/latest/news/vote-for-your-best-goal-of-afc-champions-league-2019. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!