Tabung Haji akan kembali ke landasannya tahun ini

No Image Caption
A
A
A

UTRAJAYA - Penstrukturan semula Tabung Haji (TH) akan membolehkan agensi itu kembali ke landasannya pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, meskipun pelbagai kritikan dilemparkan kepadanya susulan tindakan itu, beliau yakin langkahnya itu akan menjadikan TH sebuah agensi yang mampan.

Katanya, antara langkah penstrukturan itu adalah mewujudkan Special Purpose Vehical (SPV) bagi memulihkan kedudukan kewangan TH.

"Bagi maksud ini juga, kerajaan telah memutuskan bahawa TH akan berada di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) seperti institusi-institusi Kewangan Islam yang lain.

"Ia bertujuan untuk mengukuhkan tadbir urus dan pengurusan risiko TH, agar lebih berdaya saing dan mampan," katanya ketika memberi ucapan ketika sesi bersama penjawat Jakim di bangunan Jakim , di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Mujahid berkata "Ini tidak bermakna TH di bawah BNM, tetapi TH akan terus beroperasi dan tertakluk kepada Akta Tabung Haji 1995".

Katanya, penting untuk dijelaskan bahawa skop kawal selia ini tidak merangkumi tadbir urus dan pengurusan haji.

"Namun begitu, penyeliaan BNM akan memantapkan pengurusan risiko TH terutama berkaitan risiko pelaburan, kecairan, pasaran serta operasi agar ianya selari dengan standard Industri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut perkara ini, beliau turut menepis dakwaan bahawa TH kini dibawah seliaan Orang Bukan Islam sepertimana didakwa sesetengah pihak.

Katanya, kenyataan-kenyataan seperti itu hanyalah fitnah yang mahu merosakan imej TH.

Sementara itu katanya, Kabinet turut bersetuju untuk mengangkat imej TH sebagai satu lambang kebanggaan negara.

"Walaupun TH ini perihal ehwal orang Islam tapi alhamdulillah Kabinet hari ini melihat TH satu kebanggaan warga Malaysia maka wajar ia dibela," katanya.

Sebelum ini TH diselebungi dengan pelbagai isu antaranya isu salah guna kuasa dan penyelewengan dana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!