Dua kontraktor didenda RM250,000 sebabkan pekerja binaan maut

CIDB
CIDB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua kontraktor didenda RM250,000 selepas didapati gagal memastikan keselamatan pekerja pembinaan bangunan sehingga mengakibatkan kematian pekerja mereka.

Kejadian berlaku di tapak kerja di Hulu Langat dan Gombak pada 23 Mei dan 28 Januari tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata, kontraktor berkenaan itu didapati melanggar Seksyen 34D (1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520).

Menurutnya, insiden berasingan itu disiasat oleh Pegawai Penyiasat CIDB Selangor, Mohd Shahrir Samad bersama pasukan pendakwaan diketuai Abdul Razak Husin.

"Adalah menjadi tanggungjawab kontraktor untuk memastikan kerja pembinaan dilakukan dalam keadaan tidak mendatangkan risiko dan kecederaan kepada sesiapa.

"Justeru, kontraktor pelu bertanggungjawab memastikan bangunan dan tempat kerja adalah selamat dan memiliki struktur teguh sama ada semasa atau selepas kerja-kerja pembinaan.

"Dua kes itu memberi peringatan penting kepada pemain industri pembinaan supaya sentiasa mematuhi dan mengamalkan budaya mengutamakan keselamatan dalam bidang itu. Hanya dengan minda kelas pertama memastikan mereka menjadi lebih maju dan bertaraf global," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ir Ahmad 'Asri berkata, CIDB sentiasa melaksanakan pemeriksaan rutin di seluruh negara di bawah Akta 520 sebagai sebahagian usaha kami memastikan pihak kontraktor dan pengurus tapak projek memenuhi tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan kerja pembinaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemain industri yang gagal memenuhi keperluan ditetapkan di bawah Akta 520," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!