Jujur, telus laksana amanah rakyat
MUKADIMAH
Tokoh akademik, Tan Sri Arshad Ayub berjaya membangunkan pendidikan profesional dalam kalangan anak Melayu.
Bekas pengarah pertama Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau dikenali sebelumnya sebagai Institut Teknologi Mara (ITM) itu berkhidmat dari tahun 1967 hingga 1975.
Arshad yang kini berusia 91 tahun juga sebagai 'arkitek' penubuhan organisasi yang menjadi gedung modal insan peribumi yang teragung di Malaysia.
Dilahirkan pada 15 November 1928 di Muar, Johor perjuangan tokoh itu membangunkan pendidikan profesional melahirkan ramai golongan bumiputera profesional dan terkemuka negara.
Ikuti luahan dan harapan tokoh akademik terulung itu dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar di Dewan WUI, Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.
"Bagi saya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika ini kalau hendak memajukan orang Melayu, mereka ada banyak kerja dan amanah perlu dilaksanakan.
Mereka kena memahami aspirasi penubuhan Mara dan saya juga mempersoalkan adakah setiap individu menjalankan tugas diberikan (agensi itu) faham soal kejujuran, ketelusan dan amanah dalam setiap tugasan diberikan?
Masalah orang Melayu saya lihat adalah apabila mereka tidak menjalankan tugas diamanahkan, sebaliknya mereka anggap (amanah itu) sebagai makan gaji.
Sehingga kini UiTM menerima dana berjumlah RM2.4 bilion setahun daripada kerajaan selain penubuhan banyak fakulti pengajian menawarkan jurusan berkualiti.
Tetapi adakah kita berjaya melahirkan ramai tokoh profesional Melayu terkemuka ketika ini? Saya tidak berani cakap, tetapi apabila objektif (penubuhan UiTM) tidak tercapai, kita kena cari jalan pastikan objektif itu tercapai.
Penekanan Bahasa Inggeris faktor graduan ITM laris
"Penekanan Institut Teknologi Mara(ITM) menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pada peringkat awal penubuhannya menjadi faktor utama graduan keluaran institusi itu laris dalam pasaran industri negara.
Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sebalik fenomena Nasionalisme Linguistik berlaku sekitar tahun 70an disebabkan saya memperkenalkan pelbagai kursus bertaraf profesional seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Pensyarah yang bertugas ketika itu terdiri daripada 70 peratus golongan profesional yang berkhidmat secara separuh masa dan komited menguruskan ITM.
Ditambah pengenalan banyak kursus bertaraf profesional, kita juga terpaksa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kerana 90 peratus pensyarah tidak fasih berbahasa Melayu.
Lagipun bagi saya untuk keperluan industri pada masa hadapan, penggunaan bahasa Inggeris sahaja dianggap sesuai untuk pengajaran.
SH: Kemajuan bahasa Melayu bergantung kemajuan bangsa
"Kemajuan bahasa Melayu akan mengikut kemajuan bangsa kita. Kemajuan bangsa itu mesti hadir dahulu barulah disusuli kemajuan bahasa.
Kalau kita berjaya melakukannya, bangsa kita akan lebih dihormati. (Malangnya) ini kita tidak ada...Macam mana hendak bercakap soal maruah kalau bangsa itu sendiri kurang maju.
Kita kena memperbaiki dan pertingkat diri kita baru orang akan orang hormati kita. Pada saya maruah bergantung kepada kebolehan kita untuk memajukan diri dan bangsa sendiri.
Kemiskinan bukan halangan maju ke hadapan
"Saya percaya segala kejayaan dicapai saya hari ini serta kepercayaan diberikan dalam menggalas tugas-tugas penting di pelbagai jabatan antaranya sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) termasuk
di Lembaga Pembangunan Industri Desa (Rida), ia banyak dibantu oleh faktor latar belakang kehidupan saya sebelum ini.
Saya banyak memiliki banyak kekurangan dari segi kemiskinan dan pendidikan tetapi ia tidak dijadikan sebagai halangan untuk terus maju ke depan.
Berhubung nilai-nilai orang Melayu pada hari ini yang semakin pudar, saya agak sukar memberi gambaran yang tepat kerana sudah banyak bercampur dengan nilai-nilai orang lain.
Lebih susah kerana kita ada nilai-nilai yang baik tapi kadang-kadang tidak cuba memperkasakannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!